Timbalan Menteri Dalam Negeri yang baharu, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengumumkan akan melepaskan jawatannya selaku Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Dalam pada itu, Nur Jazlan turut mengumumkan penangguhan semua prosiding yang diatur pada Ogos termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga barisan anggota PAC baru dilantik pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

"Tumpuan kini diberi di dalam aspek menjaga ketenteraman awam serta meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

"Fokus juga diletakkan kepada membantu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebuah portal hari ini menimbulkan persoalan apabila anggota PAC dilantik di dalam kabinet dalam kabinet ketika siasatan masih berlangsung berhubung 1MDB.

Anggota PAC berkenaan adalah Pengerusi PAC, Nur Jazlan sendiri, Datuk Seri Reezal Merican dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Nur Jazlan kini memegang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri, manakala Reezal dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar dan Mas Ermieyati dilantik menjadi Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.

Seorang lagi anggota PAC, Datuk Wilfred Madius Tangau kini merupakan Menteri Sains, Teknologi dan inovasi.

Nur Jazlan turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di atas pelantikannya.

PAC sebelum ini dijadualkan akan memanggil Ketua Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrul Ibrahim Halmi pada 4 dan 5 Ogos ini untuk prosiding siasatan.

Selain itu, PAC juga dilaporkan akan memanggil ahli perniagaan Jho Low atau nama sebenarnya Low Taeck Jho sebagai saksi untuk prosiding siasatan 1MDB.

Keputusan ini dibuat selepas PAC meneliti laporan pelaburan 1MDB dalam laporan awal siasatan oleh Jabatan Audit Negara.

Sementara itu, kenyataan Presiden Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS), Tunku Zain Al-'Abidin Tunku Mukhriz memaklumkan, Nur Jazlan turut digugurkan dari majlis berkenaan berkuatkuasa serta merta.

"Majlis IDEAS bertemu hari ini dan memutuskan jawatan Nur Jazlan digugurkan kerana pelantikannya dalam jawatan Kabinet.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Nur Jazlan kerana perkhidmatan dan sokongannya selama ini dan kami mengharapkan semoga Nur Jazlan berjaya dengan kedudukan barunya," kata kenyataan itu.