Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed tidak berpuas hati dengan penguatkuasaan agensi di bawah kementeriannya dalam usaha membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI).

Beliau yang melakukan tinjauan di kompleks First Avenue, Bandar Utama, Petaling Jaya, mengakui hanya memerlukan 20 minit untuk mengenal pasti premis yang menggunakan khidmat PATI.

"Lawatan saya adalah untuk memberikan amaran kepada majikan dan juga jabatan-jabatan di bawah KDN bahawa saya sedang memantau.

"Kalau begitu mudah untuk saya datang ke One World kompleks ini dan membuat tinjauan tak sampai 20 minit ada PATI dan saya telah mendapati banyak kelemahannya dalam penguatkuasaan ini. Saya akan teruskan pemantauan saya sampai penguatkuasaan ini berkesan," katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.


Sementara itu, beliau juga sedang memantau mana-mana pegawai di bawah kementeriannya yang terlibat dengan rasuah.

"Mana-mana tohmahan ataupun laporan bahawa pegawai Imigresen atau Polis yang terlibat menerima apa-apa ganjaran daripada majikan ini, mereka juga akan dikenakan tindakan.

"Ada sikap majikan yang mengatakan bahawa kalau mereka ditangkap kata mereka boleh diselesaikan dengan pegawai-pegawai berkenaan. Saya memaklumkan di sini bahawa KDN memantau aktiviti mereka ini," katanya lagi.

Penguatkuasaan akan tertumpu kepada bandar utama seperti di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor Bahru yang merupakan antara lokasi utama PATI.

Setakat ini, hanya khidmat restoran di bahagian dapur sahaja dibenarkan menggunakan pekerja asing.

Manakala pemilik pasar raya, kedai runcit mahupun pasar mini dilarang menggunakan pekerja asing.

Selain itu, Nur Jazlan juga berkata Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) kurang mendapat sambutan daripada majikan sejak ia dilaksanakan pada 15 Februari lepas.

Beliau menegaskan majikan dan PATI tidak sepatutnya mengambil sikap sambil lewa untuk mendaftar dalam program itu.

Sehingga kini, hanya 12,000 pekerja asing yang didaftarkan oleh 2,000 majikan dalam program yang akan berakhir pada 31 Disember ini.

Bagaimanapun beliau tidak berpuas hati dengan bilangan itu yang dianggapnya sangat sedikit.

"Sebab itu sambutan kurang memuaskan kerana penguatkuasaannya masih belum intensif tapi lepas ini saya nak maklumkan kita akan meletakkan tanggungjawab tersebut kepada majikan.

"Lagi cepat majikan berdaftar dengan program ini, akan bertambah efektif program pengajian ini," katanya.

Program itu memberi peluang kepada PATI yang bekerja secara haram di negara ini untuk mendapatkan permit kerja yang sah bagi memenuhi sektor pekerjaan yang dibenarkan.

Ia akan dinilai daripada aspek keberkesanannya termasuk elemen nilai tambah yang wajar dikemas kini bagi memastikan kelancaran pelaksanaan untuk tempoh seterusnya.

Menerusi program ini, kerajaan mengenakan syarat ketat terhadap PATI dan majikan untuk memastikan mana-mana PATI yang tidak layak akan dihantar pulang ke negara asal mengikut prosedur sedia ada.