SERAMAI empat anak kapal dan 11 anggota Tentera Darat Malaysia terselamat selepas sebuah helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan pendaratan cemas di dalam kawasan Kem Gubir, Kedah pada Jumaat.

Portal Sinar Harian melaporkan, kejadian pada pukul 3 petang itu berlaku selepas pesawat yang berpangkalan di Pangkalan Udara Butterworth ini melaksanakan penerbangan untuk misi ulang bekal.

“Semua anak kapal termasuk penumpang helikopter selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

“Kesemua mereka telah diberi rawatan oleh pasukan perubatan tentera yang bertugas di kem tersebut,” kata TUDM dalam kenyataan itu hari ini.

TUDM juga telah menghantar pasukan penyelamat ke kawasan insiden dan akan menubuhkan satu pasukan penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.