Tidak cukup berlagak bagaikan samseng jalanan, seorang mat rempit turut mengancam nyawa pejalan kaki apabila dia nyaris melanggarnya ketika cuba meloloskan diri dari sekatan polis.

Itu antara aksi yang sempat dirakamkan dalam Op Samseng Jalanan di ibu negara malam tadi.

Operasi yang dilakukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di sekitar pusat bandaraya dengan menjalankan sekatan jalan, berjaya menangkap pemuda terbabit yang menggunakan nombor plat palsu.

Ketika operasi dilakukan, ada juga penunggang motosikal bertindak agresif dan bahaya termasuk menunggang melawan arus apabila ternampak sekatan jalan.

Dalam pada itu, lima lagi mat rempit yang sedang leka melakukan aksi ala Superman sambil berlumba berjaya dicekup anggota polis di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

Kesemua suspek berusia antara 16 dan 25 tahun.

"Saya tidak bersekolah tetapi ada lesen motor. Road tax (cukai jalan) pun ada. Saya tengok kawan saya lari, jadi saya pun lari juga," kata seorang suspek berusia 16 tahun apabila ditanya polis.

Sepanjang operasi ini, sebanyak 191 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Kesalahan paling banyak dilakukan adalah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan melakukan pengubahsuaian pada kenderaan.

Sebelas buah motosikal pula disita kerana pelbagai kesalahan.