Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama diseru untuk mengiktiraf pencapaian ekonomi Malaysia serta mengingatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan agenda pembaharuannya yang belum dilaksanakan.

Dalam satu artikel oleh badan bebas AS Council of Foreign Relations (Majlis Hubungan Luar atau CFR), Obama dikatakan mungkin tidak dapat, secara persendirian, meyakinkan Najib untuk memulihkan agenda pembaharuan itu.

“Bagaimanapun, hujahan untuk pembaharuan akan dialu-alukan di kalangan perniagaan Amerika yang melabur di Asia Tenggara," menurut Joshua Kurlantzick dalam blog CFR yang bertajuk "Apakah yang perlu Presiden Obama lakukan di Malaysia".

Kurlantzick berkata walaupun Najib telah memulakan pelbagai pembaharuan tetapi “kebanyakannya” pembaharuan ekonominya telah terbengkalai.

Pencapaian Malaysia satu 'cerita kejayaan'

Katanya, Malaysia kini masih mempunyai kepayahan untuk bergerak ke dalam industri yang mempunyai nilai tambah yang meningkat, serta sistem pendidikan masih kekal lemah berbanding negara-negara Asia lain .

Dengan itu, Kurlantzick berkata pelabur asing akan terus tertanya-tanya apakah kelebihan daya saing Malaysia dalam jangka panjang, walaupun pada masa ini mereka masih suka melabur di Malaysia kerana insentif yang ditawarkan untuk pelaburan asing.

Obama juga perlu mengekalkan satu "tumpuan seimbang" semasa lawatan beliau, dan mengiktiraf Malaysia sebagai "salah satu cerita kejayaan pembangunan manusia dalam era pasca Perang Dunia II", kata Kurlantzick.

Malaysia sudah berjaya "mencapai banyak aspek" dalam tempoh lebih 50 tahun, katanya.

"Ekonomi Malaysia telah meningkatkan KDNK per kapita kepada lebih $ 10,000 (RM 32,680) (dan KDNK per kapita adalah lebih tinggi di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur) , dan ia membina satu infrastruktur fizikal yang cekat dan moden di Semenanjung Malaysia. "

"Presiden Obama perlu betul-betul meraikan perkembangan yang mengagumkan ini," katanya.

'Iktiraf kepelbagaian Malaysia'

Obama, menurut Kurlantzick, juga harus "mengiktiraf bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum yang mempunyai ramai penduduk bukan Islam" dan bertemu dengan pemimpin masyarakat Cina dan India, dan juga parti-parti pembangkang .

"Rancangan Perdana Menteri Najib untuk meningkatkan lagi ekonomi untuk orang Melayu menambah lagi ketakutan kaum Cina dan India, dan juga memesongkan ekonomi negara. "

Akhir sekali, artikel itu menasihatkan Obama untuk mengelakkan daripada bercakap mengenai misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370. Ini kerana tragedi ini sudah menerima kritikan yang hebat atas cara pengendaliannya oleh pelbagai pihak.