Pasukan Penyiasatan Keselamatan ICAO Annex 13 Malaysia untuk MH370 hari ini memaklumkan, objektif siasatan insiden kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370 adalah untuk mecegah kejadian tersebut dari berulang dan bukannya untuk menuding jari.

Menurut satu kenyataan yang dibacakan Ketua Penyiasat ICAO, Datuk Kok Soo Chon, perkara itu tertera dalam perenggan 3.1 dalam Annex 13.

"Objektif tunggal siasatan atas kemalangan atau insiden ini ialah untuk mencegah kemalangan dari berlaku pada masa hadapan. Bukan lah tujuan aktiviti ini untuk menyalahkan sesiapa atau liabiliti, seperti yang dinyatakan dalam perenggan 3.1 Lampiran 13," katanya.

Katanya, Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaftar di bawah Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa berhubung Kemalangan Pesawat dan Penyiasatan Insiden, adalah bertanggungjawab untuk menyiasat insiden berkenaan yang disifatkan sebagai serius.

Hari ini, pasukan penyiasatan ICAO telah mengeluarkan laporan interim berhubung hasil siasatan berkaitan pesawat milik Penerbangan Malaysia itu yang hilang pada 8 Mac tahun lalu.

Laporan itu antara lain menceritakan tentang pesawat yang terputus hubungan dengan menara kawalan dan radar 40 minit setelah berlepas semasa ia melepasi waypoint IGARI.

ICAO juga memaklumkan bahawa pasukannya kini sedang melaksanakan analisis tentang maklumat fakta dan sedang mempertimbangkan beberapa sudut termasuk kelayakan terbang & penyelenggaraan dan Sistem Pesawat; operasi menara kawalan dari Mac 7 ke Mac 8, kargo konsaimen, profil anak kapal, lencongan pesawat dari laluan asal, Organisasi dan Pengurusan Maklumat DCA dan MAS; dan komunikasi satelit (SatCom).

Laporan Interim kehilangan MH370

Hari ini, satu dunia memperingati tepat setahun kehilangan pesawat MH370.

Pesawat Boeing 777-200ER membawa 239 penumpang, kebanyakannya daripada China, dan anak kapal, dijadualkan mendarat di Beijing pada pukul 6:30 pagi. Ia dipercayai telah berakhir di Lautan Hindi.

Jabatan Penerbangan Awam pada 29 Jan mengumumkan penerbangan MH370 secara rasmi diisytiharkan sebagai satu kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa, dan bahawa semua 239 penumpang dan anak kapal telah dianggap telah kehilangan nyawa mereka.