OCD : Personaliti atau penyakit?

OCD : Personaliti atau penyakit?
Penyakit Obsessif Kompulsif adalah sejenis penyakit mental dan mempunyai dua komponen utama iaitu obsesif (pemikiran) dan kompulsif (tindakan). - Gambar hiasan
SERINGKALI ramai yang keliru dengan terma obsessif kompulsif malah ramai yang mengguna pakai terma ini pada tempat yang salah.

Contohnya, jika ada di antara rakan-rakan kita  yang dilihat amat teliti serta mementingkan kesempurnaan atau 'perfectionist', maka terus dilabel sebagai OCD atau Obsessive Compulsive Disorder.

Sedangkan hakikatnya penyakit Obsessive Kompulsif (OCD) membawa maksud serta gejala yang berbeza.

Jadi apakah pula terma yang digunakan untuk mereka yang mempunyai ciri-ciri seorang yang amat teliti, terancang dan sentiasa inginkan kesempurnaan dalam melakukan sesuatu?

Mereka ini sebenarnya mempunyai personaliti Obsessif Kompulsif  atau 'Obssessive Compulsive Personality Disorder (OCPD)'.


Apakah Personaliti Obsessif Kompulsif (OCD)?

Personaliti Obsessif Kompulsif, sejenis kecelaruan personaliti yang dicirikan oleh sifat individu yang amat mementingkan ketelitian, kesempurnaan serta keinginan untuk mengawal persekitaran serta hubungan.

Ia biasanya bermula pada peringkat awal dewasa serta lebih banyak dialami oleh lelaki berbanding wanita.

Ini agak mengejutkan kerana kita sentiasa beranggapan bahawa wanita lebih mementingkan ketelitian, perinician serta kesempurnaan.

Dari segi statistik, dianggarkan bahawa di antara 2.1 sehingga 7.9 peratus daripada populasi mengalami masalah ini menjadikan ianya sebagai jenis kecelaruan personaliti yang paling kerap ditemui.


Adakah anda mempunyai kecelaruan personaliti Obsessif Kompulsif?

Ya. Jika anda adalah seseorang yang sentiasa mempunyai keinginan untuk mencapai kesempurnaan serta cenderung mengawal persekitaran dan hubungan dengan orang lain secara berterusan.

Anda juga perlu mempunyai lebih dari empat ciri-ciri yang disenaraikan di bawah :

• Terlalu fokus tentang perincian, peraturan, senarai dan susunan sehinggakan terlepas pandang kepada objektif utama dalam sesuatu aktiviti.
• Terlalu berusaha untuk mencapai kesempurnaan sehingga lambat menyiapkan sesuatu tugasan.

• Terlalu mementingkan pekerjaan dan produktiviti sehinggakan mengabaikan masa untuk diri sendiri, keluarga atau teman-teman.

• Sukar untuk membahagikan tugas kepada orang lain kerana bimbang orang lain tidak mampu mencapai tahap yang kita inginkan. Sekiranya tugas diberikan kepada orang lain, anda turut menyenaraikan secara terperinci apa yang anda harapkan mereka lakukan.

• Terlampau berpegang kepada moral dan etika serta patuh kepada peraturan tanpa pengecualian.

• Sukar untuk membuang barangan yang tidak lagi digunakan kerana memikirkan bahawa ia mungkin berguna di suatu hari.

• Sukar untuk membelanjakan wang untuk diri sendiri atau orang lain kerana bimbang wang tersebut diperlukan untuk masa hadapan.

• Tidak fleksibel

Tetapi jika anda cuma mempunyai satu atau dua ciri sahaja, ini tidak dikira sebagai Kecelaruan Personaliti Obsessif Kompulsif, tetapi cuma mempunyai ciri-ciri (traits) personaliti tersebut.

Adakah ini satu masalah? Tidak jika ia tidak menjejaskan fungsi harian anda, malah ia dapat membantu menguruskan aktiviti harian dengan lancar.

Bagaimana pula jika anda memenuhi kriteria diagnosa tersebut? Terdapat rawatan seperti psikoterapi dan ubatan yang dapat membantu jika anda merasakan bahawa kecelaruan personaliti anda menjejaskan fungsi harian serta hubungan anda dengan orang lain.


Penyakit Obsessif Kompulsif (OCD)

Penyakit Obsessif Kompulsif pula adalah sejenis penyakit mental dan mempunyai dua komponen utama iaitu obsesif (pemikiran) dan kompulsif (tindakan).

Masyarakat umum mengenalinya sebagai penyakit was-was kerana biasanya mereka yang mengalami penyakit tersebut seringkali mempunyai perasaan ragu-ragu sehinggakan melakukan tindakan yang sama berulang kali.

Kajian di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan bahawa kadar sepanjang hayat (lifetime prevalence) untuk penyakit ini adalah dua atau tiga peratus dari populasi.

Kebanyakkanya berlaku pada usia muda di mana dua per tiga daripadanya bermula sebelum usia 25 tahun manakala cuma 15 peratus sahaja yang bermula selepas usia 35 tahun.

Lelaki dan wanita mempunyai kadar yang sama untuk mendapat penyakit ini. Bagaimanapun, lelaki biasanya mendapat penyakit ini pada usia yang lebih muda serta mempunyai gejala yang lebih teruk berbanding wanita.


Pemikiran Obsessif dicirikan oleh kriteria tertentu, iaitu :

• Pemikiran yang tidak rasional, imej atau idea yang berulang, tidak diingini serta mendatangkan rasa resah pada diri.

• Individu mengenal pasti bahawa perkara tersebut adalah berasal dari fikirannya, tetapi tidak mampu mengawalnya.

• Pemikiran ini adalah sangat menganggu sehinggakan individu tersebut melakukan tindakan kompulsif sebagai satu langkah untuk mengalihkan perhatian dari pemikiran tersebut.

Kompulsif secara ringkasnya adalah desakan untuk melakukan sesuatu yang akan meringankan rasa tidak selesa akibat pemikiran obsesif.

Contoh perlakuan kompulsif adalah seperti mencuci tangan berulang kali kerana beranggapan ia kotor atau memeriksa selak pintu berulang kali bagi memastikan ianya berada dalam keadaan terkunci.

Ada juga yang mengira sesuatu nombor berulang-ulang untuk memastikan bahawa bilangan yang dikehendaki adalah tepat dan menyimpan barang-barang yang tidak terpakai seperti surat khabar, bekas makanan atau baju-baju yang sudah buruk.

Ramai juga yang mengambil wuduk berulang kali kerana berasakan bahawa masih belum sempurna.

Penyakit Obsessif Kompulsif  boleh menjejaskan  mempunyai fungsi harian individu. Ini disebabkan individu tersebut didominasi oleh pemikiran atau obsessi yang mengganggu diikuti perbuatan kompulsif secara berulang-ulang untuk mengurangkan keresahan yang dialami.

Namun, perbuatan itu hanya berkesan untuk sementara waktu kerana obsesi ini akan kembali dan dia terpaksa mengulangi perbuatan yang menghilangkan keresahannya.

Disebabkan itu, ramai yang mengalami penyakit ini juga mempunyai kemurungan.


Penyebab

Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi untuk seseorang itu mendapat Penyakit Obsessif Kompulsif (OCD):

1. Genetik atau keturunan: Mereka yang mempunyai sejarah keluarga mempunyai penyakit ini adalah lebih berisiko.

2. Organik: Keabnormalan pada struktur otak serta fungsi otak atau jangkitan pada bahagian otak tertentu boleh mencetuskan gejala penyakit ini.

3. Personaliti: Mereka yang mempunyai Personaliti Obessi Kompulsif mempunyai risiko yang lebih tinggi.

4. Trauma: Pengalaman trauma pada masa lampau seperti penderaan fizikal atau seksual.

5. Konflik atau tekanan: Mereka yang mengalami konflik atau tekanan yang berteusan dalam hidup.

Terdapat rawatan psikoterapi, terapi tingkah laku serta ubatan yang dapat membantu untuk merawat penyakit ini.

Jika anda mengalami gejala-gejala penyakit ini,  anda boleh mendapatkan rawatan di hospital yang menawarkan perkhidmatan psikiatri.

Rujukan kepada perkhidmatan psikiatri boleh dibuat oleh mana-mana klinik kesihatan atau klinik swasta yang berhampiran. Rawatan serta pengesanan awal dapat membantu merawat penyakit ini dengan lebih berkesan.


* Dr Firdaus Abdul Gani adalah Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA)

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI

 


Tag: OCD, OCPD, Obssessive Compulsive Personality Disorder, obsessi, kemurungan


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.