Kekurangan kemudahan khas kepada pelajar orang kelainan upaya (OKU) di universiti menyebabkan mereka menghadapi masalah akses harian untuk ke asrama dan dewan kuliah.

Presiden Persatuan Orang Kurang Upaya Anggota Melayu Malaysia (Pokuam), Suhairi Abdullah berkata, pihaknya turut menerima aduan dan sedang mengkajinya untuk memastikan laporan bernas dan penuh fakta diserahkan kepada pihak berkenaan.

Jelasnya, ada juga aduan yang diberikan pelajar OKU terus ke pihak pentadbiran universiti.

"Dari pengamatan saya melawat ke universiti, kebanyakan kemudahannya bertaraf sederhana sahaja. Kadang-kadang universiti ini luas jadi kemudahan OKU memang sederhana sahaja. Kekurangan dan kekangan ini dihadapi pelajar OKU di universiti.

"Saya rasa untuk mencapai negara maju dan khasnya mencapai TN50 nanti, kami berharap kerajaan, universiti dan pihak berkenaan dapat menyediakan satu kemudahan prasarana untuk OKU supaya mereka dapat belajar dengan lebih mudah tanpa gangguan.

"Ia termasuk tiada halangan bukan sahaja kepada OKU di universiti, sekolah rendah dan sewajarnya yang OKU ini patut menimba ilmu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Suhairi mengulas isu kemudahan OKU di institusi pendidikan negara yang masih belum mencapai tahap mesra OKU.

Dalam pada itu jelasnya, Pokuam sehingga kini masih belum berjumpa kementerian berkenaan untuk berbincang isu berkenaan.

Katanya, perjumpaan akan dibuat selepas pengamatan dilakukan selain mengkaji syor terbaik untuk pelan tindakan OKU oleh pihak kementerian dan universiti sendiri.