Status orang kelainan upaya (OKU) bukan penghalang bagi Dale Adelric Teri yang menghidap Cerebral Palsy (CP) berusaha dan berdikari untuk meraih pendapatan sendiri.

Dengan kemudahan dan kecanggihan teknologi, anak muda berusia 28 tahun itu kini bergelar usahawan dalam talian dengan menjual kasut dan stoking menerusi Facebook dan Instagram.

Mula berniaga sejak tiga tahun lalu, Dale bertuah kerana menerima sokongan dan bantuan daripada ahli keluarga.

"Saya tinggal bersama keluarga dan mereka banyak membantu dari segi menguruskan pesanan pelanggan, mengadakan perbincangan dengan pembekal dan banyak memberi nasihat.

"Tahun pertama berniaga, sambutan tidak memberangsangkan. Tetapi masuk tahun kedua, pelanggan semakin bertambah dan sambutan semakin hari semakin menggalakkan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Sejak beberapa hari lalu, nama Dale menjadi sebutan dan beberapa video live di Facebooknya rancak dikongsi pengguna laman sosial yang kagum dengan kegigihannya.


Biarpun memiliki keluarga yang menjaga dan menguruskan keperluannya, Dale enggan berpeluk tubuh.

"Saya mahu cuba berdikari cari pendapatan sampingan, tidaklah hanya mengharapkan keluarga walaupun mereka memang banyak membantu.

"Buat masa ini, saya berniaga menerusi sesi secara langsung di Facebook, iaitu pelanggan boleh berinteraksi secara terus dengan saya.

"Memandangkan ada pelanggan yang tidak dapat memahami pertuturan saya, jadi mereka boleh menghantar mesej melalui Facebook atau aplikasi WhatsApp," ujarnya lagi.

Pernah mewakili negara dalam sukan boccia di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur pada 2017, Dale kini menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap perniagaan tersebut.

"Biasanya saya akan menghabiskan masa kira-kira empat jam untuk berurus niaga setiap hari.

"Cita-cita saya mahu melihat perniagaan terus maju dengan menambah kepelbagaian barangan yang dijual dari semasa ke semasa.

"Saya berharap rakan-rakan senasib dengan saya tidak putus asa dan malu untuk mencuba. Jika kita kuat semangat dan terus berusaha, kejayaan pasti akan datang," katanya mengakhiri perbualan.