Pastinya pelbagai kaedah digunakan untuk menghilangkan rasa gemuruh, khususnya dalam kalangan murid tahun satu yang memulakan hari pertama persekolahan.

Ada guru yang berpakaian seperti adiwira bagi menyambut kehadiran murid-murid baharunya.

Lain pula kejutannya buat Sekolah Kebangsaan Seksyen 7, Bandar Baru Bangi.

Di sekolah yang bertempat di daerah Hulu Langat pula, maskot Omar & Hana dibawakan khas oleh Astro Malaysia Holdings Bhd dan Digital Durian bagi menyambut kehadiran lebih 500 murid darjah satu.

Eksekutif Pemasaran Digital Omar & Hana, Syazana Zahidah Mohd Uzir berkata inisiatif tersebut bertujuan memberikan semangat kepada murid-murid sekolah selain menceriakan hari pertama persekolahan.

“Daripada pihak Digital Durian dan Omar & Hana, kami memang buat inisiatif ini untuk memeriahkan lagi suasana serta memberi semangat kepada anak-anak, terutamanya untuk darjah satu.

“Omar dan Hana memang sinonim dengan anak-anak darjah satu.

“Jadi bila Omar & Hana datang, kami lihat mereka ceria dan tidak sabar untuk menghadiri sekolah,” jelas Syazana.

Guru besar sekolah, Zulkifli Mohd Tahir pula berkata penggunaan watak-watak kartun itu boleh mengurangkan rasa gementar murid Tahun Satu yang pertama kali menjejakkan kaki di sekolah sebenar.

“Sudah tentu inisiatif yang sebegini lebih baik, tambahan daripada program Guru Penyayang yang mana hanya guru sahaja menyambut murid ke sekolah.

“Untik kali ini, murid mendapat sambutan daripada karakter seperti Omar & Hana.

“Jadi mereka akan simpan memori ini dalam ingatan dan teruja hadir ke sekolah pada hari ini dan hari-hari yang akan datang,” kata Zulkifli.

Seorang bapa yang tidak menang tangan mengambil gambar anaknya bersama maskot Omar & Hana. - Astro AWANI/ ISABELLE LEONG

Nyata, inisiatif berkenaan mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada murid-murid.

Murid Tahun Satu, Nurhana Qhalisya Mohd Hilfi mengakui teruja kerana dapat beramah mesra dengan Omar & Hana.

"Seronok sangat, sebelum ini saya lihat dalam televisyen sahaja, tetapi hari ini saya jumpa di sekolah dan saya sangat gembira,” katanya.

Sementara itu, ibu bapa yang menemani anak mereka memulakan persekolahan, berkata kejutan daripada Omar & Hana mampu memberikan kesan positif kepada anak-anak mereka.

Ibu bapa yang sedang menunggu anak-anak mereka masuk ke kelas sambil meningar taklimat daripada guru bertugas. - Astro AWANI/ISABELLE LEONG

“Saya pun teruja juga. Saya kerja separuh hari sahaja hari ini semata-mata ingin hantar anak saya masuk darjah satu.

“Saya juga seronok tengok Omar & Hana ada di sini dan dapat bergambar dengan mereka,” kata seorang ibu, Nurul Hashimi bt Che Hassan apabila ditemui di sekolah tersebut.

Selain itu, Mohd Syazwan Samsudin yang menemani anaknya memulakan persekolahan berkata langkah tersebut sesuai untuk menghilangkan rasa kesedihan selain meningkatkan motivasi murid-murid.

“Anak-anak memang sangat teruja. Apabila anak saya mendapat tahu bahawa Omar & Hana akan melawat sekolah, dia terus bersiap untuk pergi sekolah kerana hendak jumpa Omar & Hana.

“Inisiatif ini bagus untuk menggalakkan murid-murid untuk gembira dan teruja datang ke sekolah,” kata Mohd Syazwan.