Kerajaan bersetuju menukar status Biro Pengaduan Awam (BPA) sebagai ‘Ombudsman Malaysia’ sebagai usaha memastikan tindakan ke atas pengaduan berkaitan kementerian dan agensi dapat ditangani dengan lebih efektif.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bagi memastikan penubuhan badan itu dapat dilaksanakan, satu akta dikenali sebagai Akta Ombudsman akan digubal dan dibentangkan di sesi Parlimen seterusnya.

“Ini merupakan konsep baharu. walaupun ada cadangan ini berkali kali, kali ini kita terima, dan we will pass a law to create this post.

“Sementara kita bersetuju dengan tugas ombudsman ini, yang terhad kepada menentukan jabatan-jabatan kerajaan tidak menyeleweng dan terlibat dengan rasuah. Dan apa juga complaint terhadap jabatan kerajaan, selepas diminta pembetulan daripada agensi tertentu, kalau tak dapat selesai, boleh pergi ke ombudsman,” katanya lagi.


Penubuhan badan itu merupakan antara perkara yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) sesi ke-empat, yang beliau pengerusikan di Putrajaya hari ini.

Selain itu, beliau berkata, jawatankuasa khas berkenaan turut bersetuju untuk menyelaraskan fungsi agensi-agensi di bawah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC). Penyelarasan fungsi agensi-agensi di bawah GIACC amat penting bagi memastikan dasar dan perancangan berkaitan governans, integriti dan antirasuah dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan diperkasakan dengan menjadikan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) – akan bertindak sebagai sebuah badan pemantau bebas yang lebih holistik.

“Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) yang ditempatkan di bawah GIACC akan bertindak sebagai badan operasi membina kapasiti dan kompetensi agensi kerajaan dan korporat. Model bisnes yang baharu akan diwujudkan bagi membolehkan INTEGRITI menjalankan fungsi ini,” katanya lagi.

Selain itu Perdana Menteri berkata tadbir urus proses kenaikan pangkat pegawai-pegawai kumpulan pengurusan tertinggi dalam perkhidmatan awam akan ditambah baik.

“Mekanisme baharu diputuskan bagi mewujudkan proses kenaikan pangkat yang telus dan berintegriti bagi mengurangkan ketidakpuasan hati. Sehubungan itu, dipersetujui untuk mengadakan Akta Perkhidmatan Awam,” ujarnya lagi.

Mengenai lantikan politik sebagai Ketua-ketua Misi seperti Duta dan Pesuruhjaya Tinggi, Dr Mahathir berkata, ia tidak akan berlaku di bawah Kerajaan Persekutuan kini.

"Lantikan politik yang ada akan ditamatkan perkhidmatan mereka serta-merta,” katanya lagi.