Tutup

Op Khazanah rampas tulang gajah, tanduk rusa, senjata api, peluru

Op Khazanah rampas tulang gajah, tanduk rusa, senjata api, peluru
Antara barangan yang dirampas semasa operasi di Taman Hidupan Liar Tabin mulai 19 hingga 24 Nov lalu. - Astro AWANI
LAHAD DATU: Tulang gajah, tanduk rusa, 51 kelongsong peluru, senjata api rosak dan 62 jerat ditemui dalam Op Khazanah yang berakhir pada Ahad, di Taman Hidupan Liar Tabin.

Pegawai Memerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 15 Sandakan, Supt Toipi Lamat berkata, operasi berkenaan bermula 19 November lalu.

Menurutnya, ia gabungan operasi yang turut disertai Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) dan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah yang keseluruhannya membabitkan 69 anggota.

"Kami menyelusuri hutan berkenaan melakukan penggeledahan dan berjaya menemui pelbagai kesan dipercayai berkaitan pemburuan.
"Antaranya, jerat, tanduk rusa dan peluru. Turut ditemui, tulang gajah.

"Kami turut menyerbu sebuah kedai di sebuah ladang yang menyimpan 22 ekor burung tanpa permit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Pengarah JHL Sabah Augustine Tuuga, berkata, operasi bersama itu cara baru yang diyakini dalam memusnahkan jenayah berkaitan hidupan liar.

"Ini kaedah baru kita untuk lebih kehadapan dalam menentang jenayah hidupan liar.

"Kita akan adakan Op Khazanah lebih kerap pada masa akan datang selepas melihat hasil yang memberangsangkan ini," katanya.