Operasi bersepadu jalan raya bersempena sambutan Aidilfitri ini akan memberi tumpuan kepada pemandu bas ekspres, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Menurutnya, beliau telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mempertingkatkan penguatkuasaan serta pemeriksaan rapi terhadap pemandu bas ekspres bagi memastikan keselamatan jalan raya berterusan.

"Kita tak mahu isu-isu pemandu bas ekspres yang disenarai hitam atau yang terlibat kesalahan-kesalahan jalan raya masih dibenarkan memandu. Lebih banyak operasi bersepadu mesti dilakukan," katanya selepas menjadi tetamu program bual bicara terbitan Bernama News Channel pada Khamis.

Katanya, kempen kesedaran dan keselamatan jalan raya akan diteruskan dengan kerjasama pelbagai agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia, JPJ dan pengendali lebuh raya.

Berhubung desakan persatuan teksi yang mahu Pakatan Harapan menghapuskan perkhidmatan e-hailing seperti GrabCar, beliau berkata sesi dialog akan diadakan dengan persatuan, pengusaha, pemandu teksi dan pihak berkepentingan bagi mencari mekanisme terbaik menyelesaikan kemelut berkenaan.

"Kita tak boleh tengok (dengar) satu pihak sahaja. Pandangan semua pihak perlu diambil kira bukan sahaja pemandu teksi tetapi juga pengguna perlu mendapatkan perkhidmatan terbaik.

"Memang kita semua mahukan perubahan tetapi ada perkara yang kita tidak boleh buat serta-merta," katanya.

Loke berkata kerajaan komited melaksanakan perubahan dalam membantu dan memenuhi keperluan rakyat namun perlu diberi masa untuk melakukan perbincangan.

Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma) yang mewakili suara 25,000 pemandu teksi hari ini dilaporkan meminta kerajaan mengharamkan perkhidmatan e-hailing iaitu Uber dan GrabCar kerana didakwa menjejaskan pendapatan pemandu teksi konvensional di seluruh negara. -- Bernama