MALAYSIA
Operasi gali kubur di sempadan dijangka selesai Rabu depan - Khalid

Setakat ini, 35 bungkus rangka mayat telah dikeluarkan daripada penemuan 139 kubur di 28 kem transit - Foto Bernama
Operasi menggali 91 kubur yang ditemui di Hutan Simpan Mata Ayer di Lubuk Sireh akan bermula pada hari ini dan dijangka berakhir pada Rabu depan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihak Thailand telah memberikan persetujuan membenarkan pasukan forensik dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan laluan sempadan untuk meneruskan operasi penggalian kubur di negara itu.
Sebanyak 91 kubur dikenal pasti wujud di kawasan hutan yang terletak kira-kira 100 meter dari sempadan Thailand itu.
"Polis berharap operasi ini dapat diselesaikan sebelum 10 Jun," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Kelab Kebajikan dan Sukan PDRM (KKS PDRM) 2015, di sini pada Khamis.
Setakat ini, 35 bungkus rangka mayat telah dikeluarkan daripada penemuan 139 kubur di 28 kem transit yang dipercayai ditinggalkan sindiket pemerdagangan manusia bemula di Kampung Wai, Kuala Perlis sehingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar berhampiran sempadan Malaysia-Thailand sejak ia dikesan 25 Mei lepas.
Kesemua rangka manusia itu ditempatkan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk siasatan patologi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami