Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di jambatan kampung Peria di sini petang Ahad akan disambung esok.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Hanif Che Khalid, operasi mencari mangsa Ahmad Fawas Atikullah, akan disambung jam 7 pagi Isnin.

Pihaknya bersama lapan anggota termasuk Pasukan Penyelamat di Air, PPDA telah melakukan pencarian selepas dimaklumkan mengenai kejadian, namun gagal menemuinya.

Operasi mencari dihentikan jam 8.10 malam Ahad.

"Mangsa dipercayai dihanyutkan oleh arus deras atau kepala air, keadaan sungai yang deras menyukarkan pencarian" katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian sekitar jam 3.45 petang Ahad mangsa dikatakan tergelincir dan jatuh ke dalam sungai berkenaan.