Kawasan pencarian tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Tohoi yang hilang sejak 23 Ogos lepas akan diperluaskan ke bandar-bandar kecil berdekatan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, kawasan pencarian diperluaskan daripada kawasan hutan hingga ke bandar-bandar kecil kerana pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan berlaku jenayah dan penculikan membabitkan murid berkenaan.

"Kita akan meliputi kawasan pencarian ini ke bandar-bandar kecil berdekatan kerana kita khuatir ada pihak yang melakukan penyembunyian kanak-kanak berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melawat ke Pos Tohoi, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata pihak risikan termasuk polis dan tentera akan menggiatkan usaha menjejaki tujuh kanak-kanak yang hilang itu kerana pencarian yang memasuki hari ke-37 hari ini, tidak menemui sebarang bukti yang boleh dikaitkan dengan kehilangan kanak-kanak itu.

"Bukti yang ditemui tidak memperlihatkan langsung (seperti) stokin dan selipar yang ditemui (dalam hutan) daripada kanak-kanak terbabit (ini) berdasarkan DNA dan sebagainya," ujarnya.

Beliau berkata operasi pencarian yang melibatkan kawasan hutan berbukit Pos Tohoi kini diperluaskan dari 80 kilometer (km) radius kepada 140 km radius.

Setakat ini, lapan agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia sedang melakukan operasi pencarian dan ia akan diteruskan sehingga kesemua murid terbabit ditemukan.

Beliau berkata unit Senoi Praaq daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) akan dilibatkan dalam operasi SAR di kawasan hutan belantara itu kerana mereka terdiri daripada Orang Asli yang mempunyai kemahiran dalam operasi menjejak di hutan.

Ahmad Zahid berkata kerajaan mengambil serius kehilangan kanak-kanak Orang Asli berkenaan dan akan menggunakan pelbagai pendekatan sehingga mereka ditemui.

"Media sosial jangan cuba memutarbelitkan usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan, jangan cuba untuk meletakkan unsur-unsur yang negatif, mereka harus membezakan. Ini soal kemanusian, ini soal perasaan ibu bapa, jangan mempermainkan perasaan mereka ini.

"Mereka (media sosial) seharusnya bersama kami untuk memberi motivasi dan semangat bukan sahaja kepada ibu bapa tetapi juga kepada pegawai dan anggota pasukan pencarian, jangan rendah-rendahkan keupayaan dan komitmen mereka ... mereka bekerja bersungguh-sungguh," katanya.

Ahmad Zahid juga meminta Kementerian Pendidikan untuk memindahkan kelas- kelas di SK Tohoi ke bangunan asrama sekolah itu supaya sekolah dan asrama berada dalam satu kawasan.

Ketika ini kelas-kelas SK Tohoi dan bangunan asrama dipisahkan dengan jalan pembalakan.

Dalam kejadian itu, enam murid perempuan dan seorang murid lelaki Orang Asli berusia antara tujuh dan 11 tahun dilaporkan melarikan diri daripada asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka didapati mandi di sungai tanpa kebenaran.

Mereka pada mulanya dikhuatiri tersesat di hutan.