Tutup

Operasi SAR mangsa kapal korek karam di Tanjung Punggai dipergiat

Operasi SAR mangsa kapal korek karam di Tanjung Punggai dipergiat
Kejadian yang berlaku pada lebih kurang jam 4.20 pagi itu melibatkan sebuah kapal korek Ocean Line 208 berdaftar di Bolivia.
KOTA TINGGI: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) 15 mangsa kapal korek karam di Tanjung Punggai, Kota Tinggi, Johor telah dilaksanakan pada pagi tadi.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Tanjung Sedili, Kepten Maritim Amran Daud berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 7 Tanjung Sedili telah mengarahkan sebuah kapal dan tiga buah bot ke lokasi kejadian bersama agensi lain seperti Pasukan Gerakan Marin sejurus mendapat aduan dari Johor Port.
Misi SAR kini giat dijalankan di sekitar lokasi kejadian dengan bantuan pesawat udara APMM.

kota tinggi
Misi SAR mangsa kapal karam di Tanjung Punggai sudah dimulakan sejak pagi tadi. - Gambar APMM
Kejadian yang berlaku pada lebih kurang jam 4.20 pagi itu melibatkan sebuah kapal korek Ocean Line 208 berdaftar di Bolivia.

Kapal itu membawa 15 kru terdiri daripada 14 warganegara China dan seorang warga Malaysia.

“Seorang mangsa telah berjaya diselamatkan kapal yang berdekatan manakala misi SAR diteruskan untuk mencari 14 mangsa yang masih hilang,” ujar kenyataan media itu.

Menurut Amran, siasatan awal mendapati kapal tersebut yang membawa muatan pasir dari Teluk Ramunia Offshore menghala ke perairan Pengerang telah terbalik akibat dipukul ombak kuat yang menyebabkan semua mangsa terjatuh ke dalam laut.