Waktu operasi Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara akan berubah bersempena bulan Ramadan bermula 5 Mei sehingga 9 Jun ini.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan semua UTC di seluruh negara akan beroperasi dari pukul 8.00 pagi hingga 4.30 petang pada setiap Isnin hingga Ahad.

"Perubahan waktu operasi berkenaan adalah bagi menjaga kebajikan petugas UTC dalam menunaikan ibadah puasa dan pada masa sama tidak menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat," kata kenyataan itu.

UTC merupakan pusat sehenti yang menyediakan pelbagai perkhidmatan utama kerajaan dan swasta bagi memudahkan rakyat berurusan serta mendapatkan perkhidmatan diperlukan.

Sehingga kini, 22 UTC ditubuhkan dan mendapat sambutan tinggi daripada rakyat dengan jumlah transaksi pelanggan yang dicatat sejak penubuhannya adalah 72.3 juta.