Biro Pemantauan dan Integriti (BPI) Perkasa memuji tindakan tegas dan berani Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui "Ops Gergaji" yang dijalankan semalam.

BPI turut menggesa tindakan SPRM di Sarawak itu dapat diikuti oleh SPRM di negeri-negeri lain.

“BPI mendesak tindakan bersepadu seperti ini perlu dicontohi serta diberi perhatian oleh SPRM di negeri-negeri lain.

“Jika ianya berjaya di Sarawak sehingga mereka berjaya membekukan aset bernilai lebih RM560 juta, maka tidaklah mustahil ianya boleh direalisasikan di negeri-negeri yang lain,” kata Setiausaha BPI Perkasa, Azrul Akmal Saharudin dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Azrul berkata komitmen kerajaan negeri untuk membasmi jenayah kolar putih terutamanya rasuah dan salah guna kuasa adalah bergantung kepada kepimpinan.

“Jika kepimpinan bersifat bersih dan amanah, maka tidak akan sesekali mereka takut untuk menjalankan tindakan bersepadu bersama SPRM untuk menjalankan operasi serbuan sepertimana berlaku di Sarawak,” katanya.

Kata Azrul lagi, BPI akan memantau tindakan yang akan diambil ke atas individu serta syarikat-syarikat yang dibekukan aset mereka melalui serbuan semalam.

“Kita tidak akan benarkan serbuan ini hanya tinggal serbuan, kita akan pastikan tindakan yang sepatutnya diambil ke atas mereka yang bersalah,” katanya.

Ops Gergaji semalam merupakan operasi bersepadu bagi membanteras kegiatan rasuah pembalakan dan penebangan hutan secara haram di Sarawak.

BACA: SPRM lancar Ops Gergaji cari pembalak elak cukai

Dari operasi tersebut, SPRM telah bertindak membekukan akaun berjumlah lebih RM560 juta daripada individu dan syarikat-syarikat khususnya syarikat pembalakan yang disyaki terlibat dengan pelbagai jenayah kolar putih di seluruh Sarawak.

Operasi bersepadu ini membuktikan komitmen padu kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam memerangi kegiatan rasuah di dalam sektor pembalakan di samping membendung aktiviti pembalakan dan penebangan hutan secara haram yang berleluasa di Sarawak.