Tutup

Orang Asli Kuala Koh bakal nikmati kemudahan elektrik tahun depan

Orang Asli Kuala Koh bakal nikmati kemudahan elektrik tahun depan
Sumbangan RM17,700 merangkumi kos pembinaan balai sewang dan kemudahan fasiliti turut disampaikan bagi kegunaan masyarakat Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh, pada Khamis. Foto Sinar Harian
GUA MUSANG: Seramai 198 penduduk membabitkan 53 keluarga Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh di sini bakal menikmati bekalan elektrik 24 jam pada tahun hadapan.

Projek bernilai RM2 juta yang disumbangkan kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk disiapkan.

Ketua Perkhidmatan Pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) Negeri Kelantan, Muhamad Azli Ab Rahim berkata, pihaknya sudah membuat perancangan bagi tujuan itu.

Katanya, projek pembinaan bekalan elektrik itu bakal dimulakan awal tahun depan.
“Kita tengok di sini, memang (elektrik) menjadi keperluan utama. Dengan adanya sistem penapisan air yang menggunakan set generator, memang memerlukan elektrik.

"Sistem sedia ada ini disumbangkan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, yang membekalkan sumber air bawah tanah,” katanya pada Khamis.
Sementara itu, masyarakat Orang Asli di Kampung Kuala Koh menyambut baik kemudahan bekalan elektrik yang bakal dilaksanakan di kampung mereka.

Tok Batin, Raina Anjang berkata, sukar untuk mendapatkan mendapatkan kesenangan dan kemudahan di Kuala Koh.

“Macam air juga, kita memerlukan api. Kita susah, gelap. Kita dapat bantuan daripada kerajaan serta TNB, untuk penduduk di sini yang memang susah jika dibandingkan dengan kampung-kampung lain,” katanya.

Pada tahun ini, TNB Kelantan turut menyediakan kemudahan elektrik kepada penduduk Orang Asli luar bandar di Kampung Kuala Betis di sini membabitkan 21 keluarga.

Pada majlis itu, Muhamad Azli juga turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM17,700 merangkumi kos pembinaan balai sewang dan kemudahan fasiliti bagi kegunaan penduduk di kawasan perkampungan berkenaan.

Terdahulu, pada 8 Nov lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan membelanjakan RM3.3 juta bagi membantu masyarakat Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh yang terkesan dengan jangkitan demam campak baru-baru ini.

Jumlah itu termasuk sistem rawatan air berkualiti tinggi bernilai RM800,000 dan RM434,000 untuk menampung pelbagai keperluan termasuk bekalan makanan mengikut syor Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan.