Orang awam di sekitar Jalan Raja Chulan berhadapan bangunan Muzium Telekom gempar apabila seorang lelaki bertindak keluar dari kereta dan meminta bantuan kerana dipercayai disimbah cecair asid.

Ketika kejadian, laluan berkenaan sedang sesak kerana orang ramai mula pulang dari kerja kira-kira pukul 6 petang.

Menurut saksi, dua lelaki menaiki motosikal telah bertindak memecah cermin tingkap bahagian pemandu sebelum mencampakkan botol berisi cecair berkenaan ke arah mangsa.

Mangsa kemudian bertindak keluar dari keretanya menuju ke perhentian bas berhampiran dan menanggalkan pakaiannya sambil meminta bantuan.

Mangsa dihantar ke hospital berhampiran oleh orang awam untuk rawatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan mengenai kejadian itu.

Katanya, mangsa yang berusia 40 tahun itu telah dibawa ke Hospital Tong Shin oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Prince Court.

"Siasatan awal mendapati, mangsa yang sedang memandu bersendirian mengalami kecederaan lecur di muka sebelah kanan dan belakang badan ," katanya.

Tambah Rudy, pihaknya giat memburu suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.