Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini secara sinis berkata beliau tidak berseorangan.

“Najib tidak keseorangan? Ramai memberitahu saya juga tidak keseorangan,” kata Dr Mahathir ketika menjawab pertanyaan wartawan berhubung kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Dr Mahathir ditemui selepas menyampaikan ucapan bertajuk “Membina Negara Menerusi Pendidikan, Memupuk Nilai Moral untuk pembinaan Karakter” di Muzium Kesenian Islam, di sini hari ini.

Beliau turut menafikan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara untuk menghuraikan pendiriannya mengenai isu melibatkan perdana menteri.

BERITA BERKAITAN: Saya tidak keseorangan - Najib

Kata Dr Mahathir, dia hanya dijemput ke banyak acara, hingga adakalanya terpaksa menolak kerana terlalu sibuk

“Sekiranya saya dijemput untuk berucap, saya akan berucap, saya tidak mengadakan jelajah, ia bergantung kepada pendapat individu, sekiranya mereka tertanya-tanya mengapa saya meminta Najib letak jawatan, saya akan jelaskan,”

Najib dalam ucaptama di Invest Malaysia 2015 semalam mengatakan beliau tidak keseorangan mempertahankan segala tohmahan ke atas pentadbirannya.