Orang ramai mampu mengelak daripada menjadi mangsa kes jenayah ragut sekiranya lebih peka dengan keadaan sekeliling serta mengambil langkah keselamatan seperti tidak mempamerkan barang kemas secara berlebihan.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata antara kesilapan yang kerap dilakukan mangsa ragut ialah mereka terlalu leka dengan telefon bimbit atau seronok berbual dengan rakan sehingga menjadi sasaran mudah peragut.

"Pastikan berjalan melawan arus sekiranya boleh, elakkan berjalan kaki berseorangan dan tidak menggunakan jalan yang sunyi atau terlalu dekat di tepi jalan raya yang boleh mendedahkan risiko diragut...perkara kecil tetapi sering diambil mudah," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim semalam yang berkata, jenayah ragut di ibu negara menunjukkan peningkatan dengan 368 kes dilaporkan sejak awal tahun ini hingga 9 Mei lepas berbanding 234 kes bagi tempoh sama pada 2016.

Musa yang juga Anggota Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berkata, selain Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kereta, Polis Diraja Malaysia (PDRM) disaran menempatkan lebih ramai anggotanya di kawasan ''panas'' menerusi rondaan berjalan kaki kerana pendekatan itu lebih berkesan.

"Pendekatan paling sesuai ialah meletakkan anggota polis berpakaian biasa (tidak memakai pakaian seragam) dan melakukan penyamaran di kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku kes ragut. Tindakan preemtif perlu dilakukan dan bukannya menunggu kejadian jenayah berlaku, baru bertindak," katanya.

Penganalisis Jenayah Datuk Akhbar Satar berkata, Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) mendapati lebih 87 peratus daripada mereka yang ditahan kerana kes curi ragut adalah rakyat Malaysia manakala kurang daripada13 peratus adalah warga asing.

"Sejumlah 83 peratus dilakukan penunggang motosikal manakala 50 peratus daripada mereka merupakan penagih dadah tegar.

"Kerajaan perlu mencari punca sebenar berlakunya kes ragut ini kerana sudah pasti ia bukan kerjaya pilihan mereka tetapi atas faktor kewangan dan dadah," kata Akhbar.

Menurutnya kementerian pendidikan juga perlu memberi pendidikan awal kepada pelajar mengenai jenayah ragut ini kerana profil seorang peragut didapati berasal daripada latar belakang pendidikan dan hubungan keluarga yang tidak begitu baik.

"Kebiasaannya pelajar yang bermasalah dan merosot dalam pelajaran ketika di sekolah akan terlibat dalam kegiatan jenayah kerana mengikut rakan sebaya atau atas desakan hidup dan tiada pilihan," katanya.

Akhbar berkata peningkatan kes ragut antaranya berpunca daripada meningkatnya pelajar yang gagal menamatkan persekolahan di peringkat menengah dengan prestasi baik dan pengangguran sehingga pelaku jenayah memilih jalan mudah untuk menampung keperluan hidup.

-- BERNAMA