Memasuki hari kelapan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan hari ini, orang ramai dilihat terus mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan terutamanya ketika berada di tempat awam.

Bukan sekadar pemakaian penutup hidung dan mulut kini menjadi 'aksesori wajib', bahkan keperluan untuk mengisi maklumat diri seperti nama dan nombor telefon atau mengimbas kod QR sebelum memasuki sesebuah premis terus dipatuhi.

Bagi premis-premis pula turut mengambil langkah untuk memudahkan operasi termasuk memeriksa suhu badan dan menanda pita pelekat di lantai sebagai panduan jarak sosial kepada orang ramai yang menunggu giliran untuk masuk ke premis, di kaunter bayaran dan sebagainya.

Sepanjang tempoh seminggu ini, ada juga yang masih cuba menyesuaikan diri dengan keadaan kebiasaan baharu antaranya elak berada di kawasan sesak, sempit serta bersembang atau bertutur dengan jarak yang dekat seperti disarankan Kementerian Kesihatan (KKM).

Seperti yang dikatakan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, kawalan kendiri dalam kalangan masyarakat amat penting memandangkan tiada lagi kawalan pergerakan dan negara berada dalam fasa pemulihan.

Justeru, menjadi tanggungjawab masyarakat untuk kekal patuh SOP dan amalkan kawalan kendiri bagi bersama-sama memutuskan rantaian penularan COVID-19 dalam negara.

Semalam, seramai 333 individu pulih daripada COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 7,733 kes iaitu 90.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dalam kenyataannya, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah individu yang pulih itu, 307 daripadanya merupakan bukan warganegara, manakala 26 kes dalam kalangan warganegara.

-- BERNAMA