Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pelitup muka fabrik yang hanya mempunyai satu atau dua lapisan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebaliknya berkata, berdasarkan garis panduan ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hanya pelitup fabrik tiga lapisan yang disarankan bagi mengekang penularan COVID-19.

"Kalau satu lapisan memang tidak berkesan. Kita tidak menggalakkan penggunaan pelitup muka fabrik yang dikatakan satu atau dua lapisan.

"Kita mengikut garis panduan yang telah dikeluarkan WHO iaitu non-medical facemask mesti ada tiga lapisan iaitu kesan hidrofilik dan hidrofobik. Jadi kita telah maklumkan iaitu ketiga-tiga lapisan tersebut," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Justeru, beliau menyeru semua rakyat Malaysia agar bijak memilih dan memastikan pelitup muka fabrik yang dibeli adalah memenuhi spesifikasi ditetapkan WHO.

"Kalau pakai pelitup muka fabrik, kena beli pelitup muka tiga lapis. Kalau selapis hanya guna kain biasa tak berkesan. Pelitup muka mesti tiga lapis," ujarnya.

BACA: Nak pakai pelitup muka fabrik? Ini yang disyorkan WHO