Orang awam yang tidak mempunyai gejala, boleh menjalani ujian COVID-19 di rumah tanpa perlu hadir ke fasiliti kesihatan.

Dalam satu kenyataan menjawab soalan lazim (FAQ), Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan, hasil kerjasama dengan pihak swasta, mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan berkenaan, boleh melawat laman web dan memuat turun aplikasi berkaitan, bagi menentukan masa lawatan ke rumah bagi tujuan pengambilan sampel.

"Bagaimanapun, perkhidmatan pengambilan sampel COVID-19 ini, akan dikenakan caj oleh pihak syarikat swasta berkenaan," menurut kenyataan itu.

KKM turut memaklumkan buat masa ini, perkhidmatan berkenaan disediakan oleh pihak swasta seperti Bookdoc; Pantai Premier Pathology Sdn Bhd, Lablink (M) Sdn Bhd (KPJ); Qualitas Medical Group Sdn Bhd; Gleneagles Kuala Lumpur; Pantai Hospital Kuala Lumpur; Pantai Hospital Cheras; Pantai Hospital Klang; Pantai Hospital Ayer Keroh, Melaka; Twin Tower Medical Centre, KLCC; dan DoctorOnCall.

Orang ramai yang berminat boleh melayari laman web syarikat-syarikat tersebut, untuk maklumat lanjut.

Sementara itu KKM mengesyorkan orang ramai menggunakan penutup mulut dan hidung surgical atau 3-ply face mask, untuk membantu mengurangkan penularan COVID-19 berbanding jenis N95.

Ini kerana penutup mulut dan hidung N95 lebih ketat dan boleh menyebabkan pemakainya sukar untuk bernafas.

"Ia lebih sesuai diguna pakai oleh anggota kesihatan yang mengendalikan pesakit di fasiliti kesihatan, manakala 3-ply lebih praktikal untuk digunakan oleh orang awam, kerana ia mampu menghalang pendedahan orang lain kepada titisan dan percikan air liur orang yang memakai penutup mulut dan hidung ini," kata kenyataan itu.

-- BERNAMA