Orang tempatan sebenarnya tidak malas - Mahfuz

Orang tempatan sebenarnya tidak malas - Mahfuz
MAHFUZ: Para majikan harus sentiasa menerapkan penekanan disiplin dalam diri setiap pekerja yang berkhidmat dengan mereka.
GURUN: Kenyataan sesetengah pihak yang menggambarkan rakyat tempatan sebagai pemalas dan memilih pekerjaan terutama dalam sektor 3D (Dirty, Difficult, Dangerous) iaitu kotor, sukar dan bahaya adalah satu kenyataan yang tidak betul dan menipu.

Itu tegas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar yang menyifatkan sikap pengurusan syarikat yang mengambil jalan mudah menggaji pekerja asing dengan bayaran gaji yang lebih murah menjadi sebab utama kepada masalah pengangguran yang berlaku ketika ini.

Menurutnya, tindakan beberapa syarikat seperti Nafas yang mengambil keseluruhan pekerja tempatan untuk bekerja termasuk dalam sektor 3D wajar dicontohi dan menjadi ikutan beberapa syarikat besar yang lain.
Tambah Mahfuz, tanggapan bahawa pekerja tempatan mempunyai masalah disiplin serta komunikasi terutama dalam berurusan dengan orang luar juga harus ditangkis.

Pada masa sama, para majikan harus sentiasa menerapkan penekanan disiplin dalam diri setiap pekerja yang berkhidmat dengan mereka.

"Tiada masalah pun kalau nak ambil pekerja tempatan. Kalau kata orang tempatan tak nak kerja dalam (sektor) 3D ni, saya fikir ini bohonglah... tiada masalah pun.

“550 orang tempatan diambil bekerja di kilang ini. Orang kata (kalau) ambil pekerja tempatan, orang kampung, (jadi) payah kerana nanti dia pergi makan kenduri (tidak fokus) dan sebagainya.

“Tiada masalah. Yang penting bagaimana kita membentuk pemikiran berkaitan disiplin kepada pekerja untuk dipatuhi,” ujar Mahfuz.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja di kilang NPK Fertilizer Sdn Bhd, Jalan Jeniang-Gurun pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Mahfuz menjelaskan berdasarkan pemerhatian dan tinjauan yang dilakukan, pihaknya mendapati kebanyakan graduan yang masih belum mendapat pekerjaan bersedia untuk bekerja dalam mana-mana sektor yang ditawarkan termasuk sektor 3D.

Keadaan itu sekali gus menolak dakwaan kebanyakan daripada golongan menganggur adalah disebabkan terlampau memilih pekerjaan dan malas untuk bekerja.

Tag: pekerja tempatan, pekerja asing, sektor 3D, penganggur, syarikat tempatan, mahfuz omar


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.