Seekor orang utan betina ditemui mati dipercayai ditembak di kawasan Sungai Kinabatangan pada Selasa.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Siti Nur'Ain Ampuan Acheh berkata, ketika kejadian Pejabat Hidupan Liar Kinabatangan telah menerima laporan berhubung penemuan bangkai orang utan itu yang hanyut di Sungai Kinabatangan.

Katanya, sebaik sahaja menerima laporan berkenaan pihak Jabatan Hidupan Liar telah memulakan operasi mencari dan menemui bangkai itu di kedudukan 500 meter dari lokasi awal ia mula ditemui.

"Hasil bedah siasat mendapati, terdapat kesan luka pada perut, bahu dan kaki orang utan betina yang dipercayai berusia 30 tahun itu.

"Terdapat tiga kesan tembakan peluru juga ditemui pada badan orang utan itu dan kita percayai haiwan ini mati disebabkan pendarahan dalaman akibat terkena tembakan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, susulan penemuan bangkai itu satu laporan polis juga telah dibuat dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu juga diminta tampil untuk membantu siasatan.