Kerajaan Pulau Pinang merancang untuk melaksanakan tujuh projek tebatan banjir pada tahun ini dengan anggaran perbelanjaan bernilai RM6.7 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Negeri, Jagdeep Singh Deo berkata projek itu merupakan antara usaha berterusan oleh kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam memastikan kelancaran sistem perparitan di negeri itu.

"Ingin saya jelaskan di sini, kerja-kerja pembersihan parit sememangnya dibuat dan dijalankan secara berterusan mengikut jadual dan keperluan. Kita tidak akan berhenti di situ kerana operasi pembersihan adalah operasi yang berterusan," katanya pada sidang media, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mendakwa terdapat parit-parit di sekitar negeri ini tidak diselenggara dengan baik oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri yang dikhuatiri menjadi punca merebaknya penyakit.

Jagdeep berkata pada 2018, kerajaan negeri memperuntukkan RM7.58 juta untuk lima projek tebatan banjir di sekitar kawasan MBPP manakala RM11.17 juta diperuntukkan pada 2019 untuk menampung enam lagi projek itu.

Katanya, beliau juga telah mengarahkan MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk membuat pemeriksaan yang lebih mendalam di parit-parit yang dikatakan tercemar dan tersumbat.

Jagdeep berkata kakitangan operasi pembersihan yang dikenali sebagai 'wira kuning' sememangnya menjalankan tugas mereka membersihkan kawasan sekitar bandar secara berjadual.

Sementara itu, Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang yang turut hadir pada sidang media itu berkata pihaknya telah mengeluarkan 10,076 tan sisa dan kelodak daripada parit-parit di sekitar bahagian pulau pada tahun lepas, manakala pada tahun 2018 sebanyak 14,437 tan sisa buangan dan sampah sarap dikeluarkan daripada sistem perparitan MBPP pada 2018.

"Jika 10,076 tan setahun, ini bermakna kita terpaksa mengaut sampah dan sisa kira-kira 27.6 tan sehari. Ini tidak harus berlaku. Pemilik kedai, restoran dan orang awam dinasihatkan supaya tidak membebankan sistem perparitan.

"Setakat ini 18 kedai telah ditutup atas isu kebersihan, itu tiada kompromi. Kepada mereka yang enggan patuh dengan pemasangan perangkap minyak, kami juga akan tekankan di sini bahawa penguatkuasaan yang lebih tegas akan diteruskan," kata Yew.

-- BERNAMA