Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen berpuas hati dengan penjelasan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) mengenai kerugian pelaburan sebanyak RM6.3 bilion pada 2018.


Melalui laporan jawatankuasa yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, Pengerusinya Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, prosiding itu dilakukan selepas timbul spekulasi dana kekayaan negara itu mencatat kerugian tersebut berbanding keuntungan RM2.9 bilion pada tahun sebelumnya.

Beliau, yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata, prosiding telah memanggil Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri ketika itu iaitu Datuk Seri Mohd Zuki Ali, selaku Pegawai Pengawal kepada Khazanah, serta Pengarah Urusan Khazanah iaitu Datuk Shahril Ridza Ridzuan sebagai saksi.

“Ketika prosiding, Mohd Zuki dan Shahril Ridza telah memberi penjelasan kepada jawatankuasa berhubung penstrukturan semula Khazanah selepas PRU14; faktor yang menyumbang kepada kemerosotan nilai bersih dilaraskan sehingga -21.6%, dan kerugian sebelum cukai 2018 berjumlah RM63. bilion,” kata Noraini.

Susulan penjelasan terperinci itu, Noraini berkata, PAC Parlimen mengambil maklum polisi kerajaan yang dilaksanakan secara mendadak, terutamanya sektor telekomunikasi yang memberi impak besar kepada syarikat telekomunikasi dimiliki Kerajaan melalui Khazanah.

PAC Parlimen turut mengambil kira pengamalan standard perakaunan Financial Reporting Standards (FRS) 9 yang menyaksikan rosot nilai terkumpul Khazanah berjumlah RM3.1 bilion pada Mac 2019.

Selain itu, Noraini berkata, PAC Parlimen mengambil maklum strategi pelaburan terdahulu mempunyai risiko pelaburan terlalu tinggi, dan Khazanah telah bertindak dari segi pelaburan baharu untuk memperluas dan mempelbagaikan pelaburan mereka, di samping pengambilan langkah pengurangan kos operasi.

Bagi tujuan penambahbaikan, PAC Parlimen mengesyorkan agar Khazanah meneruskan perancangan dan tindakan strategi baharu untuk mengawal risiko pelaburan, melaksanakannya secara strategik dan profesional tanpa ada pengaruh politik.

Selain itu, PAC Parlimen juga meminta Khazanah mengemukakan laporan maklum balas pelaksanaan syor dalam masa setahun daripada tarikh laporan itu dibentangkan di Dewan Rakyat.