announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Padah memotong di garisan berkembar, 2 penunggang motosikal maut kemalangan

Padah memotong di garisan berkembar, 2 penunggang motosikal maut kemalangan
Dua penunggang motosikal maut setelah kenderaan mereka bertembung di Jalan Tasek Valdor, Nibong Tebal pada Sabtu. -Astro AWANI
NIBONG TEBAL: Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tasek Valdor, Nibong Tebal, Pulau Pinang pada Sabtu.

Kejadian pada jam 7.45 malam itu menyebabkan N. Yoganathan, 51, dari Nibong Tebal dan M. Kuganraaj, 18, dari Kulim, Kedah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Pemandu kereta berusia 40 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda C100 dari arah Sungai Bakap menghala ke Tasek Junjong memotong sebuah kereta Proton Iswara dari arah sama.

"Penunggang motosikal berusia 51 tahun itu dikatakan telah memotong kereta Proton Iswara lalu bertembung dengan sebuah lagi motosikal yang datang dari arah bertentangan.

"Kejadian menyebabkan penunggang motosikal berusia 18 tahun terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku di garisan berkembar," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 termasuk mengesan saksi awam bagi membantu siasatan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat.