Padah rogol dan liwat, operator kilang dihukum penjara 24 tahun, 20 sebatan

Padah rogol dan liwat, operator kilang dihukum penjara 24 tahun, 20 sebatan
Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob menjatuhkan hukuman penjara 24 tahun dan 20 sebatan ke atas tertuduh Muhamed Firdaus Kazi Mohammed Ismail. - Foto Astro AWANI
ALOR GAJAH: Seorang operator kilang yang didakwa merogol dan meliwat remaja 13 tahun di Masjid Tanah minggu lalu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, di sini hari ini.

Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob menjatuhkan hukuman penjara 24 tahun dan 20 sebatan ke atas tertuduh Muhamed Firdaus Kazi Mohammed Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhamed Firdaus, 21, didakwa dengan kejam telah melakukan persetubuhan di luar tabii tanpa kerelaan terhadap seorang remaja perempuan Melayu berusia 12 tahun 10 bulan.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 337C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa merogol mangsa di tempat sama jam 12 tengah malam pada 24 Mac lalu dan dihukum mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di kawasan semak bersebelahan ladang getah, di Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Masjid Tanah sekitar 11 malam hingga 12.30 pagi antara 23 dan 24 Mac lalu.

Tertuduh tidak diwakili peguam sepanjang prosiding.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Nizam.