Kerajaan negeri Pahang kini ke arah pelaksanaan pemakaian patuh syariah terhadap atlet-atlet di negeri ini, kerana ia salah satu tuntutan agama, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Bagaimanapun, Wan Rosdy berkata pemakaian patuh syariah itu yang kini semakin mendapat perhatian masyarakat itu, perlu diperhalusi dengan kajian pihak sewajarnya seperti mufti, pakar syariah, persatuan sukan dan ahli akademi, sebelum dapat dilaksanakan sepenuhnya.

"Kita baru menerima resolusi berhubung perkara ini dan diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, untuk dibincangkan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, sebelum tindakan selanjutnya.

"Perkembangan pemakaian atlet patuh syariah semakin positif dan secara tidak langsung atlet yang berpakaian sedemikian menjadi contoh, bahawa sesiapa sahaja boleh bersukan dan mencapai kejayaan walaupun dengan pakaian patuh syariah," katanya selepas perasmian Seminar Pemakaian Atlet Sukan Patuh Syariah Peringkat Negeri Pahang di sini pada Selasa.

Seminar yang disertai 480 peserta terdiri daripada atlet dan jurulatih dari Majlis Sukan Pahang (MSP), turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

Wan Rosdy berkata satu contoh menunjukkan pakaian patuh syariah itu tidak menjejaskan prestasi atlet seperti Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang menguatkuasakannya kepada semua pemain bertanding Piala Juara STL sejak November 2018.

"Inisiatif ini mendapat sambutan baik termasuk daripada pemain import bukan beragama Islam dari Thailand. Pakaian ini tidak menjejaskan tekong melakukan servis kuda atau 'killer' melakukan rejaman.

"Penguatkuasaannya juga diperluaskan mulai April tahun lalu kepada pemain bermula di bangku sekolah sama ada di peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan," katanya.

Sementara itu, Mohd Johari berkata resolusi seminar mendapati terdapat 13 sukan yang boleh dilaksanakan pemakaian patuh syariah antaranya silat, lawan pedang, memanah, menembak, golf, wushu, tenpin boling, taekwondo dan judo.

Bagi sukan ke arah pemakaian patuh syariah melibatkan atlet wanita di negeri ini, Mohd Johari berkata terdapat 19 acara sukan antaranya akuatik, ekuestrian, bola jaring, olahraga, bola keranjang, badminton, skuasy, bola tampar dan pelayaran.

-- BERNAMA