Tiada larangan kepada mana-mana syarikat penerbangan untuk menetapkan pakaian seragam pramugari yang menepati kehendak syariah Islam.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaafar berkata ia juga perlu mematuhi kriteria yang ditetapkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan International Civil Aviation Organization (ICAO).

Tambahnya, CAAM menetapkan supaya syarikat penerbangan perlu menyediakan pakaian seragam yang membolehkan pramugari dan pramugara menjalankan tugas-tugas keselamatan dalam tempoh yang ditetapkan.

"Ini adalah satu keperluan bagi syarikat-syarikat penerbangan memperolehi sijil keselamatan.

"Dalam hal ini juga syarikat penerbangan bebas memilih pakaian seragam asalkan ia mematuhi kriteria sebagai pakaian yang tidak menghalang tugas semasa pengungsian kecemasan dan berdasarkan kesesuaian dan imej korporat masing-masing," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (Pas-Pengkalan Chepa) yang meminta kementeriannya menyatakan apakah pakaian pramugari MAS sesuai dengan imej Malaysia yang agama rasminya adalah Islam selain menyatakan jenis-jenis pakaian pramugari MAS serta aspek pelanggaran syariah yang dikenalpasti.

Pada masa sama, Kamarudin berkata, pakaian seragam baju kebaya yang dipakai oleh pramugari adalah mencerminkan budaya Malaysia.

"Ia selari dengan identiti Malaysian Hospitaliy yang diamalkan oleh Malaysia Airlines Berhad (MAB).

"Baju kebaya menonjolkan layanan mesra kepada para pengguna penerbangan berkenaan," katanya.