Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Pakar jantung berjoging tidak mengaku bersalah ingkar PKP

Pakar jantung berjoging tidak mengaku bersalah ingkar PKP
Tertuduh, Dr Ong Hean Teik, 61, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Seorang pakar jantung sebuah klinik swasta di Pulau Pinang mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menghalang penjawat awam dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Mahkamah Majistret Georgetown hari ini.

Tertuduh, Dr Ong Hean Teik, 61, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap.
Mengikut pertuduhan pertama, Dr Ong  secara sukarela telah menghalang penjawat awam iaitu penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Muhd Alif Aizad Abd Latiff dalam menjalankan fungsi awamnya di Taman Bandaraya Pulau Pinang, Jalan Persiaran Kuari pada jam 6 petang, 19 Mac lalu.

Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia yang ketika itu sedang berjoging telah keluar dari rumahnya di Tanjung Bungah ke Taman Bandaraya Pulau Pinang pada jam 4.45 petang, tarikh yang sama.

Dia didakwa keluar bukan bertujuan untuk melakukan mana-mana perkara yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Bagi kesalahan itu dia dituduh mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 untuk dua pertuduhan itu serta pasport diserah kepada mahkamah.

Tertuduh juga perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan kes disebut semula pada 9 Jun depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan manakala tertuduh diwakili peguam Bala Mahesan.


Tag: polis, mahkamah, penjawat awam, penjara, Mahkamah Majistret, Perintah Kawalan Pergerakan, PKP, George Town, Dr Ong Hean Teik, koronavirus, coronavirus



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.