Kerajaan hari ini mengumumkan tambahan dana RM10 bilion, khusus untuk membantu meringankan beban kewangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), serta perusahaan mikro.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN Tambahan) itu dirangka bagi memastikan dua pertiga daripada jumlah pekerja di negara ini terus mendapat pekerjaan.

“Saya sedar bahawa PKS merupakan tunjang utama ekonomi negara. Sektor ini menyumbang lebih dua pertiga daripada jumlah pekerjaan di negara ini dan hampir 40 peratus kepada ekonomi.

“Oleh itu, adalah penting kita pastikan sektor PKS dapat terus cekal dan mampan dalam menghadapi tekanan dan cabaran ekonomi yang melanda kita semua pada waktu ini,” katanya lagi.


Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menambah peruntukan bagi program subsidi upah yang diumumkan pada 27 Mac yang lalu, daripada RM5.9 bilion kepada RM13.8 bilion, iaitu tambahan sebanyak RM7.9 bilion.

Di bawah inisiatif tambahan ini, Muhyiddin berkata, semua syarikat dengan pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah akan menerima bantuan subsidi upah seperti berikut: -

“Bagi syarikat yang mempunyai pekerja lebih daripada 200 orang, subsidi upah sebanyak RM600 bagi setiap pekerja dikekalkan. Namun, bilangan maksimum pekerja yang layak untuk menerima subsidi akan ditingkatkan daripada 100 orang kepada 200 orang pekerja.

“Bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja 76 hingga hingga 200 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM800 bagi setiap pekerja.

“Akhir sekali, bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja sehingga 75 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja. Melalui penambahbaikan ini, syarikat-syarikat akan menerima lebih banyak manfaat dan bantuan,” katanya lagi.

Muhyiddin berkata, bantuan itu adalah untuk selama 3 bulan, dan dikhususkan kepada majikan yang telah berdaftar dengan SSM atau pihak berkuasa tempatan, sebelum 1 Januari 2020 dan mendaftar dengan PERKESO.

“Bagi majikan yang memilih untuk menerima bantuan ini, mereka disyaratkan untuk mengekalkan pekerja mereka sekurangkurangnya untuk tempoh 6 bulan, iaitu dalam tempoh 3 bulan semasa menerima subsidi upah dan 3 bulan selepas itu,” katanya lagi.