DALAM sejarah peradaban manusia, kejadian bencana bukan sesuatu yang asing. Selain daripada bencana wabak penyakit seperti Spanish Flu, Black Plague, Small Pox dan kini Covid-19, terdapat banyak lagi kisah bencana yang menimpa manusia yang diceritakan oleh Allah SWT kepada kita.

Namun apa yang ingin dibincangkan di sini ialah bencana yang menimpa negara Mesir semasa era Nabi Yusuf AS. Al Quran (di dalam Surah Yusuf - Ayat 47 -49) telah menceritakan bagaimana beliau telah dikeluarkan dari penjara dan dilantik oleh Raja Mesir untuk menjadi bendahari yang bertanggungjawab menguruskan khazanah negara. Ini berdasarkan kemampuan beliau mentafsirkan mimpi Raja bahawa mimpi tersebut adalah peringatan daripada Tuhan bahawa negara Mesir akan mengalami keadaan pertanian yang subur selama 7 tahun dan disusuli dengan 7 tahun keadaan yang susah akibat kemarau di mana ladang-ladang tidak akan dapat mengeluarkan hasil. Oleh itu rakyat harus berusaha dengan bercucuk tanam selama 7 tahun dan hasilnya dijaga dengan baik. Hanya sebahagian sahaja yang digunakan sementara selebihnya disimpan untuk menghadapi suasana kemarau selama 7 tahun mendatang.

Dalam erti kata yang lain, strategi utama negara ialah bersedialah untuk menghadapi masa susah dengan berjimat cermat dalam perbelanjaan. Ini adalah satu panduan yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada umat Islam selama lebih dari 1400 tahun yang lalu melalui kisah Nabi Yusuf. Malangnya panduan ini tidak diambil berat langsung oleh pemimpin dan masyarakat di seluruh dunia, termasuk di kalangan pemimpin dan masyarakat Islam.

Akibatnya banyak negara yang sedang menghadapi situasi ekonomi yang runcing akibat Covid-19 berada dalam keadaan yang tenat. Bukan sahaja tabung kewangan tidak mencukupi, bahkan kebanyakan negara adalah dalam keadaan keberhutangan yang besar.

Berikut adalah beberapa negara yang mempunyai keadaan hutang yang besar berbanding saiz ekonomi mereka (yang diukur berdasarkan Keluaran Negara Kasar - KNK): Jepun (237%); Venezuela (214%); Sudan (177%); Greece (174%); Lubnan (157%); Itali (133%); Portugal (119%); Singapura (109%); Amerika Syarikat (106%); Bahrain (100%), Malaysia (52%).

Keadaan keberhutangan ini berlaku kerana kebanyakan kerajaan cenderung untuk berbelanja lebih daripada pendapatan setiap tahun, walaupun ketika negara tidak berada dalam keadaan bencana. Sebagai contoh, kerajaan Malaysia telah beramal dengan belanjawan defisit semenjak 1998 lagi. Perlu dinyatakan bahawa apabila berlaku defisit di dalam belanjawan, maka sesebuah kerajaan akan terpaksa meminjam wang tambahan yang diperlukan. Sudah tentu industri perbankan akan sentiasa gembira untuk memberi pinjaman kepada kerajaan dalam jumlah sama ada puluhan, ratusan atau dalam kes kerajaan Amerika Syarikat, 25 trilion dolar.

Pada tahun 2019, walaupun bencana Covid belum berlaku di negara kita, namun saiz defisit belanjawan Malaysia pada tahun itu ialah RM52 bilion atau 3.4% berbanding KNK. Hutang ini ditambah kepada hutang sedia ada masa itu yang berjumlah hampir RM700 bilion. Akibatnya sekarang ini bukan sahaja kerajaan Malaysia tidak mempunyai rezab yang mencukupi bahkan di dalam keadaan keberhutangan yang serius. Jika ditambah dengan jaminan kerajaan, tanggungan kerajaan Malaysia sekarang ialah lebih daripada RM1 trilion.

Akibat daripada tiadanya rezab yang mencukupi, apabila bencana Covid-19 menimpa negara, kerajaan terpaksa berhutang lagi untuk membantu rakyat dengan mengumumkan `Pakej Rangsangan Ekonomi’ pada 27 Mac 2020, walaupun jumlah pinjaman tidak diumumkan secara jelas oleh kerajaan.

Sebenarnya punca utama kepada keadaan ini ialah pemikiran pemimpin dan penasihat kerajaan yang telah terperangkap dalam paradigma barat yang bermula apabila seorang tokoh pemikir ekonomi Britain bernama John Maynard Keynes memberikan saranan bahawa jika ekonomi dalam keadaan meleset, kerajaan perlu berbelanja wang untuk merangsangkan ekonomi walaupun terpaksa berhutang daripada institusi Riba untuk tujuan tersebut. Idea yang digelar `Keynesian Economics’ ini terus diikuti oleh penggubal dasar ekonomi, termasuk daripada negara Islam, walaupun amalan tersebut bertentangan dengan ajaran Islam yang mengutuk amalan Riba dengan sekeras-kerasnya.

Yang lebih menyedihkan ialah mereka gagal menyedari bahawa pendekatan Keynesian Economics sebenarnya tidak mampu menyelesaikan masalah ekonomi negara dalam jangka panjang. Sebagai contoh ialah kegagalan langkah rangsangan ekonomi yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Amerika di bawah pimpinan Presiden Obama pada tahun 2008 susulan daripada kemelesetan ekonomi akibat krisis hutang `Sub-Prime’. Ramai pakar ekonomi menyatakan bahawa langkah tersebut gagal mendatangkan apa-apa manfaat jangka panjang. Sebaliknya hutang kerajaan Amerika telah bertambah semenjak daripada itu dan menjadi lebih daripada USD25 trilion pada hari ini. Sementara itu Amerika terus menghadapi masalah ekonomi dan rakyatnya terus sengsara.

Langkah pakej rangsangan ekonomi juga telah dilaksanakan oleh kerajaan Jepun beberapa kali semenjak berlakunya kemelesetan ekonomi yang teruk di sana pada tahun 1989. Namun ekonomi Jepun sehingga kini masih dalam keadaan yang tenat. Sekarang ini hutang kerajaan Jepun adalah yang paling tinggi di dunia iaitu sebanyak 237% berbanding KNKnya. Akibat daripada hutang kerajaan yang tinggi ini, kerajaan Jepun telah meningkatkan cukai GSTnya (dipanggil consumption tax di Jepun) ke 10%. Namun masalah hutangnya masih tidak dapat diselesaikan. Pakar ekonomi menyatakan bahawa Jepun perlu menaikkan kadar menjadi 15% jika ia serius untuk menyelesaikan masalah hutangnya. Namun kerajaan Jepun di dalam dilema kerana bimbang sebarang kenaikan kadar cukai GSTnya akan menaikkan kos sara hidup rakyat dan mengakibatkan rakyat keberatan untuk berbelanja sekaligus membuat keadaan ekonomi Jepun semakin tenat.

Jelaslah bahawa kaedah `Keynesian Economics’ atau `Rangsangan Ekonomi’ tidak akan menyelesaikan masalah dalam jangka panjang. Malangnya ramai yang masih tidak menyedari kesilapan ini, termasuk di kalangan ahli politik, sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang. Yang lebih malang ialah ada di kalangan pembangkang yang mahukan kerajaan berbelanja dengan lebih besar, walaupun dengan cara berhutang daripada institusi Riba.

Tidakkah mereka sedar bahawa langkah tersebut hanya akan membebankan rakyat dalam jangka panjang kerana terpaksa menyumbang kepada usaha menyelesaikan hutang tersebut? Tidakkah mereka sedar bahawa sebenarnya yang paling beruntung daripada pakej rangsangan yang besar adalah golongan elit kewangan Riba yang membekalkan dana hutang kepada kerajaan?

Tidakkah mereka sedar bahawa sektor perbankan mencipta wang baharu setiap kali ia memberi hutang kepada kerajaan? Tidakkah mereka sedar bahawa jumlah wang dalam sistem kewangan negara yang besar akan menurunkan nilai wang dan mengakibatkan inflasi? Tidakkah mereka sedar bahawa keadaan ini akan menyumbang kepada masalah kos sara hidup terutama sekali di kalangan yang berpendapatan rendah kerana upah dan gaji mereka tidak meningkat walaupun harga barangan dan perkhidmatan meningkat?

Tidakkah mereka sedar bahawa keadaan di mana golongan elit kewangan Riba menjadi bertambah kaya sementara golongan berpendapatan rendah menjadi semakin sengsara adalah sesuatu yang zalim dan bertentangan dengan ajaran Islam? Dan akhir sekali, bilakah kita mahu mengambil panduan daripada Allah SWT melalui pengajaran kisah Nabi Yusuf AS?



* Prof Mohd Nazari Ismail bertugas di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya.

** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.