Pakej rangsangan seterusnya yang bakal diumumkan oleh kerajaan akan lebih bersifat pemulihan bagi memberikan suntikan terhadap kelembapan atau kerosakan ekonomi yang dihadapi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, pakej tersebut akan memastikan ekonomi negara mampu bergerak dengan lebih baik untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan ke atas.

“Jika kita nilai dari sudut keperluannya memang ada keperluan yang mendesak di situ dan kenapa pakej pemulihan ini perlu dilaksanakan.

"Kalau kita lihat data-data perkembangan ekonomi semasa tempoh PKP atau PKPB dilaksanakan beberapa bulan yang lepas Injuries (kerosakan) itu agak teruk pada ekonomi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Jelasnya walaupun ketika ini industri dan ekonomi telah dimulakan semula namun masih terdapat beberapa perkara yang menjadi kekangan yang menyebabkan perjalanan atau pemulihan itu tidak berfungsi dengan begitu baik ketika ini.

“Pihak kerajaan perlu menentukan apakah sektor-sektor paling teruk terkesan dalam perjalanan ekonomi ini yang perlu dirawat segera.Kita tahu bahawa keseluruhan sektor terkesan tetapi tetapi kita kena tentukan apakah sektor yang paling teruk.

"Justeru, data-data pemegang taruh dan pemain-pemain industri penting dan kerajaan perlu bertindak secara bijak," katanya.

Tambah beliau, sektor pelancongan misalnya adalah antara sektor yang paling teruk terjejas yang memerlukan pemulihan dengan segera oleh kerajaan.

Malah jelasnya sektor itu juga sebenarnya turut berkait dengan sektor-sektor lain seperti makanan, pertanian dan lain-lain.

Apapun katanya adalah amat penting kerajaan menentukan golongan sasar yang perlu diberikan perhatian kerana tahap terjejas yang dihadapi oleh semua pihak itu adalah berbeza.

Oleh itu data-data yang tepat perlu disalurkan dalam memastikan golongan yang paling teruk terjejas itu menerima bantuan yang bersesuaian dan sepatutnya.