Berita tentang Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang dikatakan sedang uzur dek diserang penyakit aneh sepertimana yang tersebar di media sosial ketika ini, adalah palsu.

Perkara itu disahkan oleh setiausaha akhbar beliau, Syed Atif Syed Abu Bakar yang dihubungi Astro AWANI malam ini.

Kata Syed Atif, sememangnya beliau kini sedang diwadkan di hospital sejak beberapa hari lepas, tetapi hanya kerana batuk teruk dan selsema akibat jangkitan kuman dalam darahnya.

"Baru siang tadi beliau telefon saya, kami berborak. Tiada apa lah, beliau elok sahaja, esok lusa boleh keluar (dari wad)," katanya.

Ceritanya, sejak dimasukkan ke hospital, pihak keluarga dan kakitangannya tidak membenarkan kehadiran pelawat untuk membolehkan Shahidan berehat sebaiknya.

Imej tangkapan skrin yang kini sedang tular di media sosial.
Namun katanya, mungkin ada pihak yang memandai-mandai masuk ke dalam wad itu dan menyebarkan berita tidak benar bahawa keadaan beliau begitu teruk sehingga tidak boleh bercakap.

"Ada satu malam itu, dia ada pakai nebulizer sebagai sebahagian daripada proses rawatan. Mungkin ada sesiapa masuk ketika itu.

"Tengah pakai nebulizer, nak bercakap macam mana?" katanya.

Berdasarkan tangkapan skrin dari satu entri yang dimuat naik di page SAYA ANAK PERLIS di Facebook oleh seorang pengguna, "Roshidi Zinul", Shahidan sedang uzur di hospital kerana penyakit Guillain-Barre Syndrome yang menyebabkan beliau terlantar tidak bermaya.