Tutup

Pameran peta minda ibadah haji dapat pengiktirafan Malaysia Book of Records

Pameran peta minda ibadah haji dapat pengiktirafan Malaysia Book of Records
Sijil pengesahan rekod terbaharu itu diserahkan oleh pegawai MBOR, Lee Pooi Leng kepada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Rosli Othman. - Bernama
KEPALA BATAS: Pameran Peta Minda Ibadah Haji di Dewan Milenium, Kepala Batas, Pulau Pinang bukan saja pertama kali diadakan di negara ini malah, disifatkan yang terbesar selain mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR).

Program yang berlangsung selama dua hari itu membabitkan pameran sebanyak 1,414 peta minda menggunakan pelbagai medium yang dihasilkan lebih 7,000 murid Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dari seluruh Pulau Pinang.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), Rosli Othman, murid yang terbabit menghasilkan peta minda ibadah haji adalah dari 280 sekolah KAFA dengan bimbingan guru.

Ia adalah program pertama KAFA yang mendapat pengiktirafan MBR di negara ini sekali gus menunjukkan pendidikan tersebut selari dengan model Pendidikan Abad ke-21 (PAK 21).
“Objektif program adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar yang paling asas terhadap ibadah haji Rukun Islam yang kelima itu sendiri dan yang keduanya adalah untuk menimbulkan atau menggarap kreativiti para pelajar dan guru di dalam pendidikan ini terutamanya dalam bidang pendidikan Islam,” ujar Rosli.

Menurutnya, pihaknya merancang mengadakan beberapa program lain yang berkaitan ibadat umat Islam tahun depan dan berharap ia turut dicatatkan dalam MBR.

Selain diiktiraf dalam MBR, program lain yang dirancang juga diharap mendorong pelajar KAFA berfikir di luar kotak untuk menghasilkan idea terbaik.

Terdahulu, wakil MBR Edwin Tian Yeoh menyerahkan sijil pengiktirafan kepada Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Jamil Mohamed yang merasmikan program tersebut.

Sementara itu bagi pengunjung, Ailwan Yusof, 47, pameran peta minda bukan saja memberi peluang kepada pelajar KAFA menunjukkan kreativiti mereka tetapi juga membolehkan orang ramai memahami proses mengerjakan ibadat haji dengan lebih mendalam.

“Program ini adalah satu program yang menunjukkan kepada masyarakat terutama sekali masyarakat Islamlah, pendedahan bagaimana anak-anak daripada peringkat KAFA yang memang kreatif untuk menampilkan atau menunjukkan bagaimana kerja-kerja ataupun mengerjakan haji dan umrah dan sebagainyalah. Ini adalah sesuatu benda yang terbaik untuk kita,” ujar Ailwan.

Norliana Ismail, 29, pula berpendapat pengiktirafan MBR menunjukkan pendidikan KAFA melangkah satu tapak ke hadapan dalam bidang pendidikan Islam.

“Bagi saya, pengiktirafan ini (MBR) adalah sangat terbaik menunjukkan KAFA bukanlah satu institusi yang kecil, yang biasa-biasa, tapi bila kita mampu buat lebih daripada itu. Dengan adanya program seperti ini, ia menunjukkan bahawa KAFA mampu pergi lebih jauh lagi,” kata Norliana.


Tag: KAFA, MBOR, peta minda, pulau pinang, ibadah haji, pelajar



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.