Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Pandemik buka mata kepentingan sains dan teknologi - Khairy Jamaluddin

Pandemik buka mata kepentingan sains dan teknologi - Khairy Jamaluddin
Krisis COVID-19 membantu kajian ramai saintis dalam penghasilan vaksin serta pemantauan penularan penyakit. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Tidak seperti beberapa tahun lalu, sains dan teknologi kini bukan lagi satu bidang yang membabitkan sebilangan kecil masyarakat.

Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia membawa hikmah tersendiri apabila bidang itu mula diterima menjadi sebahagian daripada cara hidup.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, sains merupakan elemen penting yang memungkinkan bukan sahaja kawalan terhadap pandemik itu, tetapi juga adaptasi terhadap perubahan gaya hidup masyarakat.

"COVID-19 telah berjaya melonjakkan peranan sains, teknologi dan inovasi menjadi perkara asas dalam kehidupan.
"Kita boleh lihat bagaimana ia membantu kajian ramai saintis dalam penghasilan vaksin serta pemantauan penularan penyakit.

"Dalam masa yang sama, ia juga membantu inovasi sosial, contohnya seperti cetakan 3D bagi mempercepatkan proses penghasilan PPE," katanya ketika muncul sebagai tetamu dalam program Agenda AWANI, pada Selasa.
Ujar Khairy, penularan pandemik menjadikan masyarakat bergantung kepada teknologi dan sains termasuk dalam hal mengurus kehidupan peribadi, seperti pembelajaran dan perniagaan dalam talian (e-learning dan e-commerce).

Norma baharu, tambah Khairy, membuka ruang lebih luas untuk masyarakat berhijrah sepenuhnya kepada gaya hidup digital.

"Apabila ada keperluan, adanya inovasi. Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada kita melaksanakan transformasi negara menjadi sebuah negara berteraskan teknologi dan sains," katanya.