CUTI-CUTI dan mengembara dahulunya adalah suatu kemewahan yang hanya boleh dinikmati oleh orang-orang yang berkemampuan.

Akan tetapi, perkembangan industri penerbangan telah memungkinkan lebih ramai untuk berpergian.

Tambahan pula, syarikat penerbangan murah tumbuh seperti cendawan selepas hujan seperti AirAsia di Malaysia, Scoot di Singapura dan Nok Air di Thailand, sedikit sebanyak telah merubah senario penerbangan di Asia Tenggara.

Disebabkan ini, Bangkok, Singapura dan Kuala Lumpur sering dinobatkan sebagai kota-kota yang paling ramai dikunjungi di dunia oleh banyak majalah pengembaraan.

Tambahan pula, banyak negara di Asia Tenggara telah memudahkan pengembara untuk berkunjung dengan memudahkan atau mengecualikan syarat-syarat visa.

Rakyat Malaysia juga memiliki salah satu pasport terkuat di dunia dan boleh berkunjung ke 164 negara tanpa memerlukan visa (atau boleh mendapatkan visa apabila tiba di destinasi).

Sekiranya laman web Flightradar24 ditelusuri, seseorang dapat lihat bahawa ruang udara dunia dipenuhi pesawat-pesawat yang berterbangan dari satu tempat ke tempat yang lain dan trafik udara sangat padat terutamanya di Eropah, Amerika Utara, Asia Tenggara dan Asia Timur.

Undang-undang antarabangsa menetapkan bahawa setiap negara mempunyai kedaulatan dan hak untuk membenarkan kapal-kapal atau pesawat asing berlabuh atau mendarat di pelabuhan atau lapangan terbang mereka.

Banyak negara telah memudahkan urusan-urusan ini menerusi beberapa perjanjian antarabangsa dan triti yang ditandatangani antara satu sama lain.

Tertakluk dengan sebarang syarat-syarat visa (jika ada), seseorang itu boleh mengembara hanya dengan tiket yang sah dan pasport, tanpa perlu memeningkan kepala bagaimana undang-undang antarabangsa itu beroperasi bagi membolehkannya berpergian dari satu negara ke negara yang lain.

Perjalanan itu mudah kerana sempadan antarabangsa sering dibuka untuk pengembara-pengembara melainkan jika seseorang itu adalah persona non grata.

Ini adalah senarionya sehingga Januari 2020. Kota Wuhan di China telah menyaksikan penularan penyakit virus corona 2019 (COVID-19) yang akhirnya menjadi pandemik yang mencengkam 203 negara di dunia.

Pada awalnya, China adalah titik pusat Virus Wuhan ini dan kini, Amerika Syarikat (AS) telah mengambil gelaran itu dengan lebih 200,000 kes aktif dan 5,000 kematian direkodkan.

Virus ini telah memporakperandakan ekonomi dunia melumpuhkan negara-negara yang megah dengan teknologi moden dan kekayaan yang melimpah ruah.

AS, Itali, Sepanyol dan Jerman adalah negara yang paling teruk dilanda COVID-19 di luar China.

COVID-19 telah diisytiharkan sebagai Darurat Kesihatan Awam pada 30 Januari 2020 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pada hari Rabu, 11 Mac 2020, COVID-19 telah dikategorikan sebagai pandemik oleh Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Walaupun amaran telah dikeluarkan oleh WHO, tetap ada pelancong yang berhati kering mengembara untuk mengambil kesempatan terhadap tiket pesawat yang murah sehingga ada yang berkunjung ke negara-negara paling teruk terjejas dek COVID-19.

Situasi menjadi parah apabila negara-negara mula menutup sempadan mereka untuk pengembara antarabangsa.

Malaysia, sebagai contoh, menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ada 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020. Ianya kemudian dilanjutkan kepada 14 April 2020.

Sewaktu tempoh PKP ini, rakyat Malaysia tidak dibenarkan ke luar negara dan rakyat asing tidak dibenarkan masuk.

Negara-negara lain seperti Itali, Sepanyol, India, Australia, Thailand dan Rusia juga telah bertindak melakukan perkara yang sama dalam usaha mengekang penularan Virus Wuhan.

Mengembara dan melancong itu mudah dan tanpa kesulitan jika keadaan adalah normal dan selamat. Sempadan antarabangsa sentiasa dibuka untuk membenarkan pengembara keluar dan masuk.

Akan tetapi, apabila negara-negara di dunia mula menutup sempadan bagi membendung pandemik ini, syarikat-syarikat penerbangan terpaksa membatalkan penerbangan ke destinasi-destinasi yang terlibat.

Pusat Penyelidikan Pew yang berpangkalan di Washington, AS melaporkan bahawa 7.2 billion warga dunia kini hidup di dalam kawalan pergerakan di negara masing-masing akibat COVID-19.

Inilah sebabnya kenapa penting untuk kita mengambil serius amaran-amaran yang telah dikeluarkan oleh WHO dan pengembara sepatutnya menunda rancangan mereka.

Akan tetapi, sesetengah daripada mereka tidak menghiraukan amaran ini dan teruskan juga rancangan mereka untuk melancong.

Akibat daripada ini, ratusan ribu pengembara dari mana-mana negara kini terpaksa bermalam di lantai lapangan terbang dan terdesak dalam mencari penginapan-penginapan terakhir di kota-kota asing atau terpaksa berhadapan dengan kuarantin wajib selama 14 hari dengan wang yang sedikit dan harapan untuk pulang yang kian hambar.

Ada lebih kurang 841 rakyat Malaysia yang terkandas di 20 buah negara seperti India, Austria, Sweden, Sepanyol ketika PKP dikuatkuasakan.

Undang-undang antarabangsa telah mempermudahkan pengembaraan antarabangsa dan seringkali tidak difikirkan pun oleh para pelancong.

COVID-19 telah memaksa banyak negara menutup sempadan mereka dan kini barulah para pelancong sedar bahawa mendapatkan kebenaran untuk memasuki atau meninggalkan mana-mana negara tidaklah semudah yang disangka, terutama di waktu krisis.

Jangkitan COVID-19 makin buruk terutamanya di negara-negara Barat dan ianya akan kekal begitu buat masa sekarang.

Peribahasa ‘jauh perjalanan, luas pemandangan’ seringkali menggalakkan ramai untuk merantau. Tapi realitinya sekarang, lagi jauh perjalanan, lagi luas jangkitan COVID-19 akan menular.

Adalah lebih baik untuk duduk di rumah daripada terkandas di mana-mana lapangan terbang di luar negara.

Semoga satu hari nanti dunia mampu memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19.


* Profesor Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

** Profesor Madya Dr. Roman Dremliuga adalah pensyarah di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.

*** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.