Panel Penilaian Operasi (PPO) yang menasihati Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan mempunyai bukti mencukupi untuk mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang dilaporkan portal berita The Malaysian Insider hari ini.

Pengerusinya Tan Sri Hamid Bugo menafikan sekeras-kerasnya penglibatan dirinya dalam laporan tersebut yang memetik sumber tanpa nama sebagai pemberi maklumat.

"Kami ingin menyatakan bahawa tidak ada sumber tanpa nama diberi kuasa untuk bercakap bagi diri dan bagi pihak Panel di bawah apa-apa keadaan.

"Dalam apa jua keadaan, kami dengan ini secara nyata memisahkan diri kami dari semua kenyataan seperti itu yang dikaitkan dengan sumber tanpa nama," katanya dalam satu kenyataan di sini .

Hamid berkata, Panel langsung tidak pernah mengatakan bahawa ia mempunyai 'bukti mencukupi untuk mendakwa Najib berkaitan SRC' seperti yang didakwa oleh tajuk artikel tersebut.

Panel juga tidak membuat kesimpulan bahawa penyiasat SPRM telah mengumpul bukti yang cukup untuk membuktikan kes prima facie terhadap Najib, katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Panel menasihatkan SPRM untuk melengkapkan siasatan.

Hamid juga merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh SPRM semalam yang menyatakan 'SPRM telah diminta oleh Panel untuk mengeluarkan pernyataan awam mengenai isu-isu ini'.

"Kami tidak membuat sebarang permintaan itu daripada SPRM," katanya. "Bagaimanapun, ia terpulang kepada SPRM jika mahu mengeluarkan sebarang kenyataan," katanya.

Panel PPO diketuai oleh Tan Sri Dr Hamid Bugo dengan ahli lain panel seperti Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan, Datuk Zamani Abdul Ghani, Datuk Azizah Arshad, Datuk Wan Abdul Wahab Abdullah, Profesor Dr Normah Omar, Dr Sundramoorthy M Pathmanathan dan Lim Chee Wee.

Manakala PPPR pula adalah salah satu daripada lima badan bebas yang memantau perjalanan SPRM.