Program Geran Penyelidikan (RGP) Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kini dibuka bagi permohonan bermula dari Khamis ini hingga April 30, 2014.

Salah satu fungsi utama MyCC ialah untuk menjalankan kajian mengenai isu persaingan dalam ekonomi Malaysia.

"RGP telah dilancarkan pada awal tahun 2013 bagi menyokong fungsi ini dan kajian-kajian penyelidikan yang dibiayai RGP dijangka akan memberi satu gambaran lebih jelas mengenai daya saing perusahaan dalam ekonomi Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Shila Dorai Raj, dalam satu kenyataan akhbar, Khamis.

Menurut MyCC, jumlah setiap geran adalah sehingga RM25,000 dan ianya terbuka kepada semua rakyat Malaysia termasuk penyelidik bebas.

Bagaimanapun, MyCC boleh memberikan jumlah geran yang lebih tinggi daripada jumlah yang telah ditetapkan bergantung kepada kesesuaian usul penyelidikan yang dicadangkan.

MyCC akan membiayai mana-mana penyelidikan berkenaan Bidang Penyelidikan Strategik yang telah dikenal pasti oleh MyCC, lazimnya fokus kepada sektor utama dan pihak berkepentingan yang berkaitan dengan Pelan Strategik MyCC 2012-2014.

Menurut Mycc lagi, keutamaan akan diberi kepada penyelidikan berdasarkan bukti, kaji selidik dan kajian berdasarkan kes serta penemuan yang boleh disiarkan di dalam jurnal ilmiah atau penerbitan untuk kegunaan umum.

Hasil penyelidikan harus menjurus kepada cadangan terhadap dasar-dasar, undang-undang, garis panduan, kod amalan, strategi atau program-program advokasi mengenai persaingan yang akan menyebarkan kesedaran mengenai isu persaingan serta menggalakkan budaya persaingan dalam negara.

Pemohon haruslah mempunyai kerakyatan Malaysia serta mempunyai keupayaan penyelidikan dalam sebarang disiplin.

Permohonan juga berkemungkinan daripada fakulti, penyelidik pasca kedoktoran, atau penyelidik kedoktoran yang berkhidmat di universiti awam mahupun swasta; kakitangan badan pemikir atau pertubuhan masyarakat awam atau penyelidik bebas.

Pertubuhan masyarakat awam juga boleh mengemukakan permohonan diatas nama organisasi yang diwakili.

Pemohon-pemohon harus mengemukakan biodata terperinci, menunjukkan bukti pengalaman penyelidikan terdahulu dan hasil-hasil penyelidikan yang berjaya, bersama dengan surat syor dari sekurang-kurangnya 2 pengadil.

Sesiapa yang berminat bolehlah merujuk laman web MyCC, www.mycc.gov.my, bagi butiran permohonan dan maklumat terkini.

Pemohon boleh mengemukakan cadangan jumlah usul penyelidikan, secara individu atau kolaborasi bersama penyelidik yang lain. Pemohon harus menyiapkan penyelidikan masing-masing dalam masa 6 bulan hingga 1 tahun dari tarikh menandatangani kontrak geran penyelidikan bersama MyCC.

MyCC RGP telah dilancarkan buat pertama kalinya pada tahun 2013 dan tujuh orang pemohon telah berjaya dianugerahkan dengan geran berjumlah hampir RM175,000.000.

Untuk maklumat lanjut mengenai RGP sila rujuk laman web MyCC di www.mycc.gov.my atau emel kepada [email protected] .