Pangkor pulau bebas cukai: Pastikan rakyat tidak jadi Lebai Malang - Sultan Nazrin

Pangkor pulau bebas cukai: Pastikan rakyat tidak jadi Lebai Malang - Sultan Nazrin
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah ketika Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. - Foto Bernama
IPOH: Kerajaan Negeri Perak telah mengemukakan permohonan untuk mewartakan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai pada 1 Januari 2020.
 
Ia susulan pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengisytiharkan Pulau Pangkor diberi status pulau bebas cukai pada pembentangan Belanjawan 2019 November lalu.
 
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sewaktu bertitah memaklumkan pelbagai gerak kerja untuk merealisasikan status ini sedang dirintis.
 
“Usaha-usaha untuk membantu penduduk tempatan agar mendapat limpahan manfaat, hendaklah dijadikan salah satu agenda pembangunan Pulau Pangkor, demi memastikan penduduk di Pulau tersebut, tidak bernasib Lebai Malang, menang sorak - kampung tergadai, tertinggal sebagai penonton yang pasif, berputih mata, melihat dagang lalu ditanak – sedangkan anak diriba mati tak makan,” titah baginda sewaktu merasmikan pembukaan penggal kedua Dewan Negeri yang ke-14 Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.
 
Ketika membentangkan belanjawan 2019, Menteri Kewangan mengumumkan kerajaan komited untuk menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai dalam usaha merealisasikan potensi sebenar pulau tersebut sebagai antara destinasi pelancongan utama di Malaysia.

Tag: Lim Guan Eng, Sultan Perak, Pangkor, Pulau Pangkor, pelancongan, cukai, bebas cukai


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.