Sekumpulan lelaki sanggup bergadai nyawa dengan terjun Sungai Golok bagi mengelak daripada ditahan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA), Pengkalan Chepa di sini, dalam satu serbuan awal 4 pagi tadi.

Serbuan yang dilakukan anggota PGA di pangkalan haram Kuala Jambu itu berjaya merampas 1.6 juta batang rokok bernilai lebih RM2.4 juta.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Ab Aziz Che Embong, berkata rampasan itu melibatkan 8,000 karton rokok yang dimuatkan di dalam 160 kotak besar.

Katanya, sebelum serbuan dilakukan, pihaknya sudah melakukan intipan di kawasan itu sebelum mengesan lima lelaki sedang memunggah kotak ke dalam sebuah lori.

"Sebaik anggota membuat serbuan kelima suspek bertindak terjun ke Sungai Golok untuk melarikan diri dan meninggalkan kotak yang diseludup dari negara jiran Thailand.

Beliau berkata, hasil siasatan dilakukan terhadap lori terbabit, pihaknya mendapati sejumlah rokok seludup dibawa masuk ke negara ini.

"Modus operandi mereka sentiasa berubah, dan kali ini, awal pagi dijadikan waktu untuk melakukan aktiviti penyeludupan.

"Walau bagaimanapun tindakan mereka itu sia-sia kerana kami (PGA) tidak pernah tidur dan sentiasa berkawal," katanya di sidang media di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am, Lubok Stol, di sini, pada Sabtu.

Dalam perkembangan lain, pada jumaat lalu pihak PGA dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas barang kawalan minyak masak dan tepung gandum bernilai RM50,000.

"Kejayaan ini adalah bukti hasil kerjasama baik dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) dalam mengawal sempadan," katanya.