Paras air laut pasang yang melepasi ban di beberapa kawasan di pesisiran pantai Selangor dilihat punca berlakunya banjir kilat yang melanda beberapa lokasi di negeri ini.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib, berkata ban yang dibina hanya mampu menahan air sehingga paras 5.5 meter, namun air pasang yang berlaku semalam mencecah paras 5.6 meter.

"Memang peningkatan paras air laut semalam sangat tinggi dan melepasi ban sedia ada. Apa yang membimbangkan jika berlaku lagi hujan lebat dengan air laut memasuki daratan boleh menyebabkan berlaku semula banjir kilat," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Zaidy berkata, beberapa ban turut rosak akibat limpahan itu iaitu di Kampung Sungai Serdang dan Pandamaran di Klang; Pantai Remis dan Kampung Sungai Sembilang di Kuala Selangor serta di Kampung Tok Muda di Kapar, Klang.

Bagaimanapun beliau berkata kerja-kerja membaiki ban yang rosak itu telah dilakukan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Sebanyak 13 kawasan di lima daerah di Selangor dilanda banjir akibat limpahan air laut berikutan fenomena air pasang besar, awal pagi semalam. - BERNAMA