Sebanyak 71.3 peratus keluarga di negara ini memperoleh pendapatan di atas paras RM3,000 sebulan, sekali gus menunjukkan peningkatan daripada paras 61.3 peratus pada tahun 2012.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, walaupun ia satu peningkatan yang baik, Kerajaan masih belum selesa kerana masih terdapat 28.7 peratus atau dua juta daripada sejumlah tujuh juta isi rumah di negara ini yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

"Untuk itu, Kerajaan akan terus melaksanakan agenda transformasi ekonomi untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara supaya dapat mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan peluang perniagaan kepada rakyat.

"Kerajaan juga akan terus memberi tumpuan kepada aspek pembangunan sosial dan mengambil langkah yang bersesuaian dalam usaha membantu rakyat menangani beban kos sara hidup yang semakin meningkat termasuk pemberian BR1M dan menyediakan lebih banyak rumah mampu milik serta kemudahan Kedai Rakyat 1Malaysia dan Klinik 1Malaysia," katanya.

Abdul Wahid menjawab soalan Datuk Irmohizam Ibrahim (BN, Kuala Selangor) yang mahu tahu sejauh manakah kadar pergerakan gaji atau pendapatan rakyat seiring pergerakan kos hidup secara purata tahunan memandangkan MBE menumpukan peningkatan pendapatan per kapita rakyat menjelang 2020.

Dalam pada itu, kata Abdul Wahid, Model Baru Ekonomi (MBE) mensasarkan negara menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 dengan tiga komponen utama iaitu Pendapatan Tinggi, Keterangkuman dan Kemampanan.

"Sasaran pendapatan tinggi merujuk kepada Pendapatan Negara Kasar per kapita sebanyak RM49,000 (USD15,000) mengikut kadar tukaran wang semasa.

"Komponen inklusif bermakna kita mahu pastikan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat hasil pertumbuhan ekonomi negara. Di peringkat makro, antara lain kita mengukur jumlah gaji pekerja-pekerja berbanding saiz ekonomi atau GDP.

"Dalam tempoh 5 tahun di antara 2008 hingga 2013, ekonomi kita telah berkembang pada kadar purata 5.1% peratus setahun, manakala jumlah gaji telah meningkat pada kadar purata 8.0 peratus setahun. Ini telah membolehkan nisbah atau peratusan gaji kepada KDNK meningkat dari 29.3 peratus pada tahun 2008 kepada 33.6 peratus pada tahun 2013," jelasnya.

Tambah Abdul Wahid, di peringkat isi rumah, pihaknya mendapati purata pendapatan isi rumah meningkat dari RM4,025 pada tahun 2009 kepada RM5,000 pada tahun 2012 dan kepada RM5,919 pada tahun 2014.

"Manakala pendapatan median telah meningkat daripada RM2,830 pada tahun 2009 kepada RM3,626 pada tahun 2012 dan kepada RM4,258 pada tahun 2014. Ini merupakan peningkatan sebanyak 8 peratus setahun daripada tahun 2009 hingga 2014.

"Indeks harga pengguna telah meningkat dari 98.3 kepada 110 iaitu peningkatan sebanyak 2.3 peratus setahun," ujarnya.

Oleh itu, jelasnya, ia sekali gus menunjukkan bahawa pendapatan isi rumah meningkat lebih tinggi berbanding peningkatan kadar inflasi dalam jangka masa lima tahun terakhir ini.