Persidangan Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung 18 Mei ini hanya akan menyaksikan Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dalam satu kenyataan berkata pindaan itu dibuat selepas menerima surat pemakluman daripada Perdana Menteri selaku Ketua Eksekutif, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pihak Kerajaan memtuskan Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 yang akan berlangsung selama satu hari itu pada Isnin, 18 Mei 2020 dipinda dengan urusan Majlis Mesyuarat seperti berikut:

“Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada Isnin 18 Mei 2020, jam 10.00 pagi - Dewan Rakyat dan Dewan Negara bersidang serentak; dan tiada sidang selepas Titah Diraja,” memetik kenyataan itu.

Sebelum ini, Kerajaan memutuskan untuk menjalankan sidang selama satu hari yang akan menyaksikan beberapa usul akan dibentangkan oleh Kerajaan.

Menurut beliau, pindaan itu dibuat selaras dengan Peraturan 11(2) dan 15(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Justeru, katanya, semua Ahli Parlimen akan dimaklumkan menerusi satu notis baharu yang akan disampaikan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk menjalankan sidang selama satu hari yang akan menyaksikan beberapa usul akan dibentangkan oleh kerajaan.

Bagaimanapun, ia mendapat reaksi berbeza daripada Pakatan Harapan serta sekutunya Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mendesak supaya sidang Dewan Rakyat bersidang secara penuh atau sekurang-kurangnya dua minggu.