Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib hari ini berpandangan, PAS akan kalah jika pilihan raya diadakan semula di negeri Selangor lebih-lebih lagi jika ia meninggalkan Pakatan Rakyat (PR).

Beliau yang kini Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Pusat berkata, meskipun PR menang, tetapi PAS akan tetap kalah sekurang-kurangnya 10 kerusi kerana pengundi Cina tidak akan menyokong mereka.

Katanya PAS tidak harus 'syok sendiri' dengan memikirkan bahawa mereka boleh berdiri dengan sendiri kerana majoriti yang mereka menangi di negeri Selangor tidaklah tinggi.

"Di Selangor, PAS menang dengan majoriti tidak tinggi. (Oleh itu) PAS elok terus bersama dengan Pakatan Rakyat... ia mesti diteruskan," kata Muhammad dalam Wacana Merdeka di Universiti Selangor di Shah Alam pada Sabtu.

Kata beliau, trend undi di Selangor telah difahaminya setelah memegang jawatan sebagai Menteri Besar di negeri itu selama 10 tahun.

Berkenaan desas desus serta pandangan bahawa PAS harus bersama UMNO, Muhammad menasihatkan agar mereka mendengar pesan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Mat supaya "jangan percaya".

Menurut beliau, UMNO akan hanya memerlukan PAS ketika mereka lemah, dan akan menyingkirkan semula parti itu setelah mereka kembali kukuh.

"Jika UMNO dan PAS bersama, itu cuma sementara. Apabila UMNO dan Barisan Nasional dapat kuasa balik.. katakan di Selangor, mereka akan menguis PAS keluar balik selepas berkuasa," katanya merujuk kepada penyingkiran PAS oleh UMNO pada 1978.

Sementara itu, beliau turut menyarankan agar Pakatan Rakyat mengambil peluang untuk mengambil alih negara di kala UMNO sedang 'lemah'.

"Di mana-mana pun di dunia, di Amerika Syarikat dan di Britain jika sesebuah kerajaan itu tidak lagi boleh mentadbir, kerajaan lain akan mengambil alih," katanya.

Katanya UMNO sekarang berada di satu sudut yang membuatkan mereka sukar untuk keluar dari sudut itu, dan PR harus mengambil peluang dari kelemahan tersebut.